MELAKA: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan pistol tiruan.

Tertuduh Mohamad Firdaus Md Nor, 33, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

Berdasarkan pertuduhan, dia bersama-sama yang telah dituduh dengan niat melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan sepucuk pistol tiruan dan melarikan wang tunai sebanyak RM550 milik Kevin Fong Tze Weng, 39.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai menjual barang serbaneka di Jalan TPH 1 Taman Tambak Paya Harmoni, di sini, pada jam 7.21 malam, pada 6 Mei lalu.

Pendakwaan bagi kes itu dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan tidak menawarkan sebarang jaminan namun mencadangkan RM30,000 atas budi bicara mahkamah serta syarat-syarat tambahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan dia merupakan OKU fizikal tulang belakang selain telah berkeluarga.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh yang dijamin kerana tiada penjamin yang hadir dan menetapkan 23 September depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. -- Sinar Harian