ALOR SETAR: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandu dihempap pokok dalam kejadian ribut di Jalan Bukit Payong, Pokok Sena, di sini, semalam.

Mangsa, dikenal pasti sebagai Ooi Boon Khak, 74 tahun, disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Shahrin Musa berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.20 petang.

“Sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi dan setibanya di tempat kejadian, terdapat sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta jenis Hyundai.

"Terdapat seorang lelaki warga emas berada dalam kereta terbabit dan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

“Anggota bomba mengambil masa 20 minit untuk memotong bumbung kenderaan sebelum mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Foto ihsan bomba

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya ketika dihubungi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Ahmad Shukri menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati memandu ketika hujan lebat dan ribut petir.