ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai membunuh dan membakar ibunya dalam kejadian di Jalan Tok Keling, di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad berkata, polis menerima panggilan menerusi talian MER 999 pada jam 7.48 pagi berkatan kejadian seorang lelaki mengamuk.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis kemudian diarah ke lokasi untuk tindakan awal sejurus maklumat diterima.

“Sebaik tiba di lokasi, polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dipercayai suspek yang dikatakan mengamuk.

“Pemeriksaan lanjut polis sejurus itu telah menemui mayat wanita berusia 68 tahun dalam keadaan terbakar di dalam rumah dipercayai telah dibunuh.

“Hasil siasatan awal berdasarkan temu bual ke atas saksi iaitu anak kepada suspek berusia 14 tahun yang tinggal di rumah itu memberitahu, dalam kejadian antara 7 sehingga 7.30 pagi itu dia terdengar pertengkaran berlaku antara ayahnya (suspek) dengan mangsa iaitu neneknya.

“Mendengar jeritan neneknya meminta tolong, saksi kemudian keluar dari bilik lalu bergegas keluar dari rumah untuk meminta bantuan daripada jiran berdekatan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Siti Nor Salawati berkata, jiran yang terlihat perbuatan suspek cuba mencegahnya namun telah diancam oleh suspek menyebabkan jiran terpaksa menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, semakan awal mendapati suspek yang berusia 43 tahun itu pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental.

Mayat kemudian telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

“Polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan,” katanya.