KOTA BHARU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan menggagalkan cubaan membawa masuk daging lembu korban dari Bangladesh melalui pintu masuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini, minggu lepas.


Ringkasan AI
  • Maqis Kelantan telah menggagalkan cubaan membawa masuk 20 kg daging lembu korban dari Bangladesh di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) tanpa permit yang sah pada 26 Jun lepas.
  • Larangan pengimportan daging melalui udara adalah untuk menghalang risiko kemasukan penyakit kuku dan mulut (FMD) yang boleh merosakkan industri penternakan negara.
  • Mengimport tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma tanpa permit sah daripada MAQIS adalah kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).


Pengarahnya Syed Fuad Syed Putra berkata pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pegawai penguasa Maqis pada 6 petang 26 Jun lepas di laluan ketibaan penumpang LTSIP mendapati daging lembu seberat 20 kilogram (kg) bernilai RM600 itu tidak mempunyai permit yang sah dan dijumpai disorok dalam kotak polistren.

Beliau berkata tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging berkenaan menerusi laluan udara bertujuan menghalang risiko kemasukan penyakit kuku dan mulut (FMD) ke negara ini dan merosakkan industri penternakan negara.

"Seorang penumpang lelaki warga Bangladesh berusia 40-an ditahan ketika sedang memeriksa barangan yang dibawanya di balai ketibaan dan turut ditemukan 20 kg daging lembu korban dipercayai untuk diberikan kepada keluarganya di Rantau Panjang, Pasir Mas.

"Kesemua barang dagangan itu telah dirampas untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Fuad berkata perbuatan mengimport apa-apa jenis tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma tanpa permit import sah daripada Maqis menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3), akta yang sama.

-- BERNAMA