Seorang pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengugut untuk membunuh isterinya dengan mengacu sebilah pisau dan menjolok pemutar skru ke dalam mulut wanita itu.

M. David Desan, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mabel S. Muttiah.

Lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap V. Eswari, 30, dengan niat ingin mendatangkan kegentaran kepadanya dengan mengacu sebilah pisau untuk membunuhnya mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

David juga dituduh menjolok mulut isterinya menggunakan pemutar skru mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan kedua-kedua kesalahan itu di sebuah unit rumah pangsa di Bandar Bukit Puchong, Puchong, pada 11.30 malam, 7 April lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Zulkifli tidak menawarkan jaminan manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat rayuan berhubung jaminan dan mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin serta menetapkan 7 Mei untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA