MELAKA: Seorang ahli pengurusan jenazah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, pada Khamis, atas tuduhan menakutkan isteri menggunakan gunting.

Tertuduh Mohd Ridzuan Mohd Fauzi, 39, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan dengan niat menakutkan secara jenayah terhadap isterinya, Siti Najira Abdul Sahak, 39, dengan cara mengejar sambil memegang sebilah gunting.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Pangsapuri Kota Laksamana, di sini, kira-kira jam 8.30 malam, pada 20 Julai lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu jaminan rendah dengan alasan dia hanya bekerja di bahagian pengurusan jenazah dengan pendapatan RM1,800.

Selain itu tertuduh perlu menyara dua orang anak termasuk bayi berusia tiga bulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 beserta syarat tambahan tidak akan menganggu mangsa sehingga kes selesai selain menetapkan tarikh 29 Ogos depan sebagai sebutan semula kes. - Sinar Harian