ALOR SETAR: Motif pembunuhan seorang wanita dan anak perempuannya yang ditemukan di dalam longkang di belakang sebuah bangunan terbiar berdekatan Pekan Simpang Kuala di sini semalam dipercayai akibat keganasan rumah tangga.

Timbalan Ketua Polis Kedah DCP Adzli Abu Shah berkata kejadian itu tidak melibatkan pihak lain atau keganasan terancang, sekali gus meminta orang ramai untuk menghentikan spekulasi yang tular dalam media sosial mengenai keadaan yang tidak selamat di negeri ini sehingga mencetuskan kegusaran masyarakat.

"Polis menerima maklumat mengenai kejadian pada 5.04 petang semalam dan menjumpai dua mayat dengan kesan kelar pada leher kedua-dua mangsa. Hasil risikan kemudian berjaya menahan suspek berumur 43 tahun yang merupakan suami dan bapa kepada mangsa pukul 9.20 malam.

"Siasatan awal mendapati suspek tinggal di bangunan terbiar itu sejak seminggu lepas bersama isteri dan tiga anak. Dalam kejadian semalam, polis menjumpai mayat isteri dan anak perempuannya yang berusia 10 tahun manakala seorang anak lelaki berusia lima tahun ditemukan selamat bersama suspek ketika ditahan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga sedang menyiasat penemuan satu mayat kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia dua tahun yang dijumpai di Pantai Leman, Kuala Kedah pada 12 tengah hari tadi yang dipercayai merupakan anak bongsu suspek.

"Siasatan awal terhadap mayat kanak-kanak itu turut menemukan kesan kelar sama seperti dua mayat semalam. Jadi, kita percaya mayat itu merupakan anak bongsu suspek dan kita akan jalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan identiti mangsa," katanya.

Adzli berkata pihaknya mengesyaki kesemua mangsa dibunuh pada Ahad lepas di dalam bangunan terbiar itu sebelum dua mangsa dibuang di dalam longkang berdekatan.

Pada malam kejadian katanya, ada saksi yang ternampak suspek bersama anak lelakinya berada berhampiran longkang di Jalan Pegawai kira-kira dua kilometer dari bangunan itu dan terdengar seperti ada sesuatu yang dibuang di dalam longkang besar berkenaan.

Dalam pada itu, Adzli berkata suspek yang hidup secara gelandangan bersama isteri dan anak-anaknya itu turut positif tiga jenis dadah iaitu amphetamine, methamphetamine dan mop.

"Mungkin suspek ada tekanan keluarga, ditambah pula bawah pengaruh dadah, jadi kemungkinan besar ini semua melibatkan keganasan rumah tangga tetapi kita akan soal siasat anak lelakinya yang berusia lima tahun itu kerana sekarang dia masih dalam keadaan trauma.

"Suspek kini ditahan reman hingga 26 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA