JOHOR BAHRU: Seorang lelaki cedera parah selepas dipercayai ditetak dengan parang di sebuah restoran di Benut, Pontian, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mohammad Shofee Tayib berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3.12 petang.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, pasukan siasatan bergegas ke lokasi kejadian dan mangsa yang cedera parah akibat kesan tetakan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Menurut saksi kejadian, terdapat dua individu disyaki melarikan diri dengan menaiki kereta Toyota Alphard berwarna putih dengan nombor pendaftaran JTS 6816, setelah semakan dibuat, ia didapati palsu.

"Bagaimanapun, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di restoran terbabit ada merekodkan kejadian dan akan dijadikan sebagai bukti kukuh," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Inspektor Muhammad Syamil A Fadzil menerusi talian 013-714 5506 bagi membantu polis mengesan dua suspek terbabit," katanya.

-- BERNAMA