Seorang lelaki cedera di kedua-dua tapak tangan selepas ditembak di hadapan rumahnya di Medan Klebang Restu di sini pada Khamis.

Mangsa berumur 36 tahun itu kemungkinan menjalani pembedahan dan kini dirawat di Hospital Pakar KPJ.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata ketika kejadian kira-kira pukul 6 pagi mangsa yang berada di hadapan rumahnya didatangi tiga lelaki yang tidak dikenali menaiki motosikal.

"Seorang daripada suspek bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata siasatan mendapati mangsa mempunyai dua rekod jenayah bersangkut kes gaduh sehingga mendatangkan kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata pemeriksaan di dalam rumah mangsa menemui kelongsong peluru berukuran 9mm jenis Thai Arms serta satu kesan tembakan dari dalam rumah dan menembusi cermin sisi kiri kereta mangsa jenis Proton Persona.

"Di atas meja ruang tamu juga dijumpai satu alat menghisap dadah dan beberapa jenis dadah," katanya.
Beliau berkata berdasarkan keterangan mangsa dan keadaan rumahnya, mangsa dipercayai dalam proses mengurus jual beli dadah serta senjata api.

"Kemungkinan mangsa tertembak diri sendiri. Bagaimanapun kita akan terus menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti tiga suspek yang terlibat," katanya.