Aktivis Kumpulan Kartunis Independent (KKI) Lawrence Jeyaraj, hari ini direman sehari selepas ditahan semalam atas dakwaan menghasut.

Menurut laman Twitter Lawyers For Liberty, polis telah memohon Lawrence direman selama empat hari, namun perintah reman hanya diberikan selama sehari.

Menurut laman Twitter itu juga, Lawrence akan dibebaskan esok.



Sementara itu peguam Lawrence, Michelle Yesudas, semasa mengesahkan perkara itu, berkata kepada Astro AWANI bahawa Lawrence ditahan kerana memberikan komen ke atas sistem kehakiman.

“Lawrence ditahan di bawah Seksyen 4 (1) c Akta Hasutan. Kenyataannya baru diambil,” katanya melalui satu pesanan ringkas.

Ia dilaporkan bahawa Lawrence, 45, telah ditangkap di rumahnya di Taman Cuepacs kira-kira jam 6.30 petang Jumaat oleh pasukan lima anggota polis sebelum dibawa ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan yang ditahan di bawah Akta yang sama telah dibebaskan selepas aplikasi remannya ditolak oleh mahkamah Majistret. Dia dibebaskan semalam.