Presiden Amerika Syarikat Barack Obama. -Gambar Fail


Kunjungan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia hujung minggu ini akan menyediakan jaminan kepada Malaysia dari segi keselamatan nasional berhubung pertikaian wilayah ke atas
kawasan Nine-Dash Line di Laut China Selatan, kata berkata Institut Penyelidikan mengenai Asia Tenggara Jeffrey Cheah.

"Dijangkakan bahawa ia akan memberi jaminan kepada kita mengenai kawasan pertikaian Nine-Dash Line di Laut China Selatan. Malaysia tidak akan didesak oleh jiran-jirannya (mengenai isu itu)," kata Presidennya, Professor Datuk Dr Woo Wing Thye kepada pemberita selepas ceramah mengenai 'Paksi AS kepada Asia dan Implikasinya bagi Rantau ini', di sini, hari ini.

Ceramah itu dianjurkan bersama oleh Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia dan Jeffrey Cheah Institute on Southeast Asia.

Nine-Dash Line merujuk kepada garisan sempadan yang digunakan oleh kerajaan China dan Taiwan bagi tuntutan mereka ke atas sebahagian daripada Laut China Selatan.

Kawasan pertikaian itu termasuklah Kepulauan Paracel, yang diduduki oleh China tetapi dituntut oleh Vietnam, dan Kepulauan Spratly, dipertikai oleh Filipina, China, Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam.

Woo berkata kunjungan Obama juga akan merancakkan semula perbincangan mengenai Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) sambil menambah permeterian perjanjian perdagangan itu tidak dijangkakan semasa kunjungan tersebut kerana Obama tidak mempunyai autoriti segera daripada kongresnya.

"Kita tidak akan melihat permeterian TPP dalam masa terdekat ini," katanya.

Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa bagi Dasar Asing dan Kaji Selidik Keselamatan Dr Tang Siew Mun berkata kunjungan itu akan menyediakan peluang baik bagi Obama untuk mengenali Malaysia.

"Tumpuan adalah bagi Malaysia dan saya rasa beliau akan meningkatkan pemahaman tentang Malaysia dalam erti kata yang positif," kata Tang.

Obama sedang dalam rangka lawatan ke empat negara di rantau Asia Pasifik.

Satu daripada matlamat lawatan Obama ke Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan Filipina adalah untuk memperlihatkan manfaat kepada Amerika hubungan ekonomi kukuh dengan rantau yang sedang pesat membangun itu.

Obama akan tiba di Malaysia sempena lawatan tiga hari bermula 26 April dan dijadualkan pulang ke Washington Selasa depan.