KUALA LUMPUR: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi bar-baru ini disifatkan berjaya bukan sahaja kerana ia mengeratkan hubungan diplomatik tetapi juga menambah baik hubungan perdagangan kedua-dua negara.

Penganalisis Politik Dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, apa yang dipertikaikan sesetengah pihak ialah tiadanya pertemuan dengan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz atau Putera Mahkota Mohammed Salman.

Namun perkara itu jelas Mohd Azizuddin, berpunca daripada beberapa faktor, antaranya kekangan masa, apatah lagi jika dilihat pada jemputan kerajaan Arab Saudi agar perdana menteri menangguhkan kepulangan ke Malaysia.

"Pertemuan bergantung pada kesesuaian masa dan keadaan tertentu, pihak perdana menteri sendiri sudah jelaskan. Kita sendiri tahu pihak mereka minta tangguh (pertemuan) mungkin ada isu sampai tidak dapat adakan perjumpaan awal.

"Tetapi Anwar juga tidak boleh tunda kerana ada lawatan lain seperti ke Kemboja dan China, jadual sudah disusun.

"Dilihat dalam konteks hubungan dua negara melibatkan kerajaan, tidak ada isu. Ketika Anwar diangkat sebagai perdana menteri, saya berada di Madinah, saya melihat ucapan tahniah oleh Raja Salman dan Raja Muhammad, malah semasa peristiwa tanah runtuh Batang Kali, Raja Salman juga hantar ucapan takziah," katanya ketika muncul sebagai tetamu Buletin AWANI, pada Ahad.

Hasil lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi


Sebelum ini, Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Perikatan Nasional mempertikaikan lawatan rasmi Anwar dengan menyentuh bahawa Anwar tidak bertemu dengan kedua-dua pemimpin terbabit.

Dalam reaksi balas, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti, Mohammad Agus Yusoff berkata walaupun tidak sempat bertemu dengan pemimpin tertinggi negara itu, Anwar tetap mencatat kejayaan termasuk dari segi ekonomi.

Semasa di Arab Saudi, Anwar menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MOU) antara Dagang Nexchange Bhd dan Ajlan & Bros Holding Group Co; Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur dan Wadi Makkah Knowledge Co; dan Qhub International Sdn Bhd dan Eromman Technologies Sdn. Bhd.

Perdana menteri juga turut mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Muslim Dunia di Mekah.