Jabatan Audit Negara telah menyiapkan Laporan Interim Terhadap Pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut Jabatan itu, laporan itu telah disiapkan mengikut jadual, iaitu pada akhir Jun 2015.

“Laporan ini akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) semasa taklimat kepada PAC pada 9 Julai,” kata Jabatan itu dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Jabatan itu turut berkata laporan interim itu merupakan hasil pengauditan yang dijalankan oleh Jabatan itu mulai 10 Mac 2015 hingga 15 Jun 2015.

Walau bagaimanapun, jabatan itu berkata pengauditannya terhadap 1MDB masih lagi berjalan dan satu laporan lengkap akan diserahkan kepada PAC secepat mungkin dalam tahun ini.