KUALA LUMPUR: Saksi utama pendakwaan dalam kes perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh dipercayai kerana naratif mereka yang konsisten mengenai perlakuan bekas Perdana Menteri itu berkaitan dana kekayaan negara berkenaan.


Ringkasan AI
  • Saksi utama pendakwaan mendakwa mereka bertindak atas arahan Najib berkaitan dana 1MDB, melalui individu seperti Jho Low.
  • Jho Low dianggap berpengaruh besar dalam operasi 1MDB, walaupun tidak memegang jawatan rasmi, dan terlibat dalam banyak transaksi penting.
  • Najib berdepan pertuduhan menerima, memindahkan, dan menggunakan wang hasil aktiviti haram, serta pendakwaan telah menamatkan hujah mereka.


Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ahmad Akram Gharib berkata saksi terbabit mengesahkan bahawa mereka telah bertindak atas kepercayaan bahawa arahan kepada mereka datang terus daripada Najib.

"Pembelaan berhujah bahawa kredibiliti kebanyakan saksi kami tidak boleh dipercayai kerana mereka sama ada korup, ingin membalas dendam atau cuba menyelamatkan diri.

"Bolehkah kita salahkan mereka jika mereka percaya mereka bertindak atas arahan tertuduh? Mereka mungkin menerima arahan melalui orang lain seperti ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan Setiausaha Sulit Datuk Seri Najib iaitu Allahyarham Datuk Azlin Alias. Mereka percaya arahan itu adalah benar-benar daripada PM ketika itu," katanya ketika berhujah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Beliau berkata pembelaan juga berhujah bahawa saksi pendakwaan ke-9 iaitu Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi telah bersubahat dengan Jho Low untuk melakukan penipuan membabitkan 1MDB.

"Saya ingin mengulangi bahawa adakah Shahrol Azral akan melakukan semua perkara ini tanpa sokongan seseorang yang sangat berkuasa? Adakah beliau berani untuk melakukannya jika beliau tidak disokong oleh seseorang yang paling berkuasa, seorang heavyweight?

"Shahrol Azral malah menentang Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB dalam membuat keputusan namun beliau sedar bahawa pada akhirnya, Datuk Seri Najib akan kata tidak mengapa... tiada sesiapa yang akan disiasat, mereka bersih," katanya.

Sementara itu, Ahmad Akram berkata meskipun tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam 1MDB, Jho Low mempunyai pengaruh yang ketara dalam pelaksanaan operasi 1MDB dan dilihat sebagai bayang-bayang Najib.

"Jho Low ada di mana-mana malah semasa percutian kapal layar keluarga Najib di Greece dan Perancis pada 2009, 2010 dan 2013. Inilah sebabnya BOD dan pengurusan 1MDB mendengar arahan daripada beliau.

"Jho Low bukan watak rekaan. Beliau telah dikenal pasti oleh saksi-saksi melalui gambar. Beliau adalah individu sebenar dan berada di mana-mana dalam kes ini, dari awal hingga akhir. Beliau terlibat dalam banyak perkara dan urus niaga dalam 1MDB," katanya.

Ahmad Akram juga berhujah terdapat satu insiden di mana Najib menutup mata serta memekakkan telinga apabila saksi pendakwaan ke-43 iaitu Pengerusi Kumpulan The Edge Media Tan Sri Tong Kooi Ong membangkitkan kebimbangan beliau mengenai isu 1MDB.

"Beliau telah ke kediaman tertuduh di Langgak Duta untuk mendapatkan penjelasan mengenai masalah yang timbul berkaitan isu 1MDB. Beliau juga memaklumkan tertuduh pada pertemuan itu bahawa Jho Low harus bertanggungjawab bagi pengalihan US$700 juta kepada Good Star Ltd dan perlu berdepan pendakwaan namun sebagai respons, tertuduh telah membuka pintu dan meminta agar beliau beredar," katanya.

Menyentuh mengenai 21 pertuduhan pengubahan wang haram, DPP Kamal Bahrin Omar pula berhujah bahawa penglibatan Najib adalah melalui perlakuan beliau dengan menerima, memindahkan dan menggunakan hasil daripada aktiviti haram seperti keterangan yang diberikan oleh saksi pendakwaan.

Pendakwaan kemudian menamatkan hujahnya dan pembelaan dijangka membalas hujahan itu esok sekali gus menandakan berakhirnya kes pendakwaan yang telah berlangsung selama lebih enam tahun.

Selepas itu, Sequerah akan menetapkan tarikh bagi memutuskan sama ada Najib perlu membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan.

Najib, 71, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB di Cawangan AmIslamik Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014.

Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang dan di bank yang sama antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

-- BERNAMA