GERIK: Daerah Hulu Perak menjadi kawasan terbaharu kejadian bencana banjir kilat pada Sabtu malam.

Menurut jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Daerah Hulu Perak, banjir kilat berlaku disebabkan hujan lebat berterusan selama dua jam di sekitar Gerik.

Ia menyebabkan berlakunya limpahan air Sungai Hangai dan Sungai Ulu Kenderong.

Katanya, lokasi yang terjejas banjir merangkumi Pekan Gerik, Kampung Air Suda, Kampung Padang, Kampung Ramasamy, Kampung Air Panas dan Kampung Star Kecik.

Bagaimanapun, katanya tiada pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka setakat malam tadi.

"Laporan berhubung kejadian banjir kilat diterima dari penghulu di Pekan Gerik pada 8.27 malam.

"Didapati terdapat beberapa buah rumah dan kedai telah dinaiki air, pasukan APM Hulu Perak turut memindahkan mangsa yang uzur ke tempat selamat," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Ujarnya lagi, pemantauan berkala dilakukan bagi mengelakkan sebarang risiko tidak diingini, selain memastikan keselamatan orang ramai.