BINTULU: Lapan buah rumah musnah dalam satu kebakaran di Kampung Sebiew, di sini, awal pagi Sabtu.
 
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4 pagi.

"Dua jentera dengan kekuatan 16 anggota diatur gerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dan Kidurong.

"Sekitar jam 4.33 pagi, pasukan yang tiba membuat laporan awal bahawa kebakaran telah berjaya dikawal.

"Setelah proses overhaul dilaksanakan, dua jam kemudian, ketua operasi mengesahkan jumlah rumah yang musnah sama sekali ialah lapan buah."

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang menyebabkan 49 orang hilang tempat berteduh.

Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik bomba.