KUALA LUMPUR: Seorang pemandu treler cedera parah di tangan dan kepala apabila kenderaan dipandunya terbabas dan terbakar berhampiran Plaza Tol Jalan Duta tengah hari tadi.


Ringkasan AI
  • Seorang pemandu treler cedera parah di tangan dan kepala apabila kenderaannya terbabas dan terbakar berhampiran Plaza Tol Jalan Duta.
  • Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya. Pemandu tersebut telah diberikan rawatan dan dikejarkan ke hospital.
  • Keadaan di lokasi sesak sepanjang 1.3 kilometer dan pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan jalan alternatif untuk mengelakkan kesesakan.


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 12.03 tengah hari tadi dan sepasukan sembilan anggota dan dua jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas, tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.

"Tiba di lokasi terdapat sebuah treler terbabas dan terbakar di bahagian hadapan dianggarkan 50 peratus, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada 1.48 tengah hari tadi," menurut kenyataan JBPM itu.

Pemandu treler berkenaan berusia 30-an mengalami kecederaan di tangan dan kepala, telah diberikan rawatan di lokasi kejadian dan dikejarkan ke hospital oleh pasukan perubatan yang hadir.

"Punca kejadian masih dalam siasatan," menurut kenyataan JBPM.

Sementara itu di jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia memaklumkan keadaan di lokasi sesak sepanjang 1.3 kilometer sehingga ke Lebuhraya Duta Hulu Klang, susulan lorong tengah masih ditutup bagi kerja pengalihan treler bermuatan barangan makanan sejuk beku berkenaan.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan jalan alternatif untuk mengelakkan dari terperangkap dalam kesesakan," katanya.

-- BERNAMA