Gangguan bekalan air yang melibatkan beberapa daerah sekitar Lembah Klang akan berlaku lebih lama daripada tempoh jangkaan sebelum ini berikutan Sistem Mampatan Udara (Surge Vessel System) di Loji Rawatan Air SSP3 pecah, hari ini.

Berikutan kejadian itu, beberapa kakitangan yang bertugas di tapak turut mengalami kecederaan serius.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam satu kenyataan berkata, kerja-kerja pembaikan siap dilaksanakan lebih awal dari masa yang ditetapkan iaitu pada jam 5 petang semalam, insiden berlaku semasa persediaan untuk mengaktifkan semula pengoperasian loji.

"Ketika kejadian pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) bersama pegawai-pegawai Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd serta Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) berada di tapak.

"Kejadian ini menyebabkan kecederaan serius kepada kakitangan yang bertugas di tapak dan pihak Splash telah memaklumkan kepada pihak (Span) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh).

"Susulan daripada insiden tidak dijangka ini, masa pemulihan bekalan akan tersasar dari jadual asal seperti yang dimaklumkan pada notis hebahan media sebelum ini," katanya.

BACA: Pengguna resah gangguan bekalan air di KL, Selangor

Syabas akan memaklumkan status pemulihan yang baru dan akan bekerjasama dengan pihak Splash bagi membantu kerja-kerja pembaikan.

"Bantuan bekalan melalui lori-lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas dan Pusat Khidmat Setempat kami akan beroperasi 24 jam sehari sehingga bekalan pulih.