Langkah kerajaan melanjutkan moratorium tiga bulan secara bersasar dilihat melegakan individu yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan, namun ia hanyalah bersifat penyelesaian jangka pendek bagi satu permasalahan yang sangat besar.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nasib mereka yang bekerja sendiri dan dalam sektor tidak rasmi juga perlu diambil kira ketika mana mereka juga terjejas teruk susulan pandemik ini.

"Moratorium tambahan dan kelonggaran dalam pembayaran pinjaman adalah bergantung pada permohonan dan kelulusan yang akan dilaksana oleh bank-bank.

"Justeru apa yang diumumkan itu tidak akan dijamin secara automatik dan bank pula akan menggunakan budi bicara mereka dalam menentukan siapa layak atau tidak layak untuk penangguhan pinjaman," kata beliau menerusi satu kenyataan pada Khamis.

1400ANWARMORATORI3007P

Anwar yang juga Presiden PKR turut mendesak kerajaan untuk bersikap telus dan penuh kebertanggungjawaban dalam memastikan agar manfaat dan langkah yang diumumkan itu benar-benar sampai pada mereka yang dalam kesulitan.

Katanya, keutamaan dalam membangunkan penyelesaian yang tuntas kepada masalah pengangguran, kemiskinan dan jurang pendapatan yang melebar harus diberikan keutamaan oleh kerajaan selain mewujudkan program keselamatan sosial yang mampan bagi mendukung kumpulan masyarakat yang miskin sementara ekonomi untuk pulih.

Dalam masa sama, Anwar turut menggesa kerajaan untuk turut menyediakan lebih banyak bantuan kepada rakyat dan pengusaha-pengusaha Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang kini sedang bergelut dengan masalah kewangan ketika pandemik COVID-19.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan moratorium tiga bulan bagi individu yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan impak daripada penularan pandemik COVID-19 dan yang selebihnya kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersasar.