Para pegawai dan anggota polis yang mencapai indeks jisim badan (BMI) 29 ke atas berdepan kesukaran untuk dinaikkan pangkat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Justeru, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim mengingatkan semua ketua jabatan supaya memastikan anak-anak buah masing-masing memiliki BMI yang menepati piawaian PDRM.

“Tadi saya baru menghadiri mesyuarat bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. Beliau sekali lagi menekankan mengenai pegawai dan anggota yang memiliki BMI lebih 29.

“Sehubungan itu,saya mahu warga polis Kuala Lumpur mengambil inisiatif mengenai perkara ini dan saya tidak mahu mereka mencapai BMI melebihi 29.

“Kalau ada antara mereka yang mencapai bacaan itu (melebihi 29) mereka perlu buat senaman. Ini bagi memastikan mereka cukup cergas dan ‘fit’ apatah lagi dengan penugasan di Kuala Lumpur yang begitu mencabar,” katanya ketika berucap pada majlis mesra media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini malam tadi.