KUALA LUMPUR: Usaha pembaharuan cukai Malaysia yang digariskan dalam Belanjawan 2024 untuk merangsang syarikat pemula niaga domestik selain mendorong pelaburan tenaga bersih, dijangka memberi manfaat kepada perniagaan pemula niaga inovatif, sektor teknologi hijau dan syarikat berorientasi perkhidmatan.


Ringkasan AI
  • Pembaharuan cukai di Malaysia dalam Belanjawan 2024 bertujuan untuk merangsang pertumbuhan syarikat pemula, pelaburan tenaga bersih, dan industri inovatif seperti teknologi hijau.
  • Inisiatif seperti Elaun Pelaburan Semula dan Insentif Cukai Kenderaan Elektrik membantu syarikat dalam pemodenan dan penggunaan kenderaan hijau, sementara Insentif Cukai Hab Perkhidmatan Global memberi manfaat kepada syarikat yang mewujudkan pusat perkhidmatan global di Malaysia.
  • Walaupun kadar cukai pendapatan korporat Malaysia dianggap tinggi berbanding negara ASEAN lain, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan daya tarikan pelaburan dalam sektor inovatif dan memperkuat kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan, sambil bersiap sedia untuk pelaksanaan Cukai Minimum Global pada tahun-tahun mendatang.


Berkongsi pandangan itu, BMI yang juga syarikat penyelesaian Fitch berkata pembaharuan cukai menyeluruh itu bertujuan merangsang industri tempatan dan menyalurkan pelaburan ke dalam sektor utama, termasuk pembuatan maju.

Antara inisiatif itu adalah Elaun Pelaburan Semula (RA), Insentif Cukai Kenderaan Elektrik (EV) dan Insentif Cukai Hab Perkhidmatan Global.

BMI berkata RA misalnya berkesan dalam mengurangkan beban cukai ke atas syarikat yang menjalankan pelaburan modal untuk pemodenan jentera, menaik taraf teknologi atau mempelbagai produk bernilai tinggi manakala insentif cukai yang dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2027 untuk EV, dapat mengurangkan kos operasi bagi perniagaan dalam sektor sewa selain berpotensi mempercepat barisan kumpulan kenderaan serta penggunaan kenderaan hijau.

"Syarikat yang mewujudkan pusat perkhidmatan global di Malaysia akan mendapat manfaat daripada pengurangan kadar cukai di bawah Insentif Cukai Hab Perkhidmatan Global," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut BMI, kadar cukai pendapatan korporat Malaysia sebanyak 24 peratus pula meletakkannya ke arah kelompok spektrum lebih tinggi di rantau Asia yang luas.

Sebaliknya, negara-negara jiran ASEAN seperti Singapura dan Thailand menawarkan kadar lebih kompetitif masing-masing sebanyak 17 peratus dan 20 peratus yang menjadikan negara berkenaan sebagai destinasi pelaburan lebih baik berdasarkan cukai.

Namun, BMI berkata langkah memperkenalkan insentif bersasar dapat mengimbangi kadar cukai yang tinggi.

"Walaupun kadar cukai pendapatan korporat Malaysia dianggap tinggi mengikut piawaian serantau, pengenalan insentif pelaburan bersasar sebaliknya dijangka meningkatkan daya tarikan pelaburan dalam sektor inovatif serta mampan.

"Strategi ini akan meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai hab pelaburan sebelum penguatkuasaan Cukai Minimum Global (GMT). Apabila GMT diterima pakai secara meluas di seluruh Asia kelak, kelebihan persaingan akan berubah kerana kadar cukai rendah tidak lagi menjadi tarikan untuk pelaburan langsung asing berikutan lantai cukai yang seragam dalam pasaran yang besar," katanya.

Sehubungan itu, BMI berkata ekonomi seperti Malaysia perlu menawarkan insentif tambahan untuk meningkatkan daya tarikan di pihak perniagaan.

"Langkah proaktif sedemikian dijangka dapat memperkukuh cadangan nilai keseluruhan Malaysia bagi syarikat yang beroperasi di sempadan," katanya.

Tindakan Malaysia melaksanakan GMT adalah sebahagian daripada projek Hakisan Asas dan Peralihan Keuntungan (BEPS) 2.0 oleh Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), yang telah ditangguhkan ke 2025.

Cukai ini akan melibatkan perusahaan multinasional (MNE) dengan pendapatan disatukan melebihi 750 juta euro menerusi pengenaan lantai 15 peratus pada kadar cukai mereka.

Langkah memperkenalkan mekanisme seperti cukai tambah nilai minimum domestik yang layak dan peraturan rangkuman pendapatan, juga akan mengukuhkan asas cukai terhadap hakisan, sejajar dengan usaha global untuk mengurangkan perbuatan mengelak cukai.

-- BERNAMA