LABUAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Labuan menganjurkan perbincangan meja bulat secara maya bersama pemimpin komuniti, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pegawai kerajaan, sebagai persediaan menghadapi pelaksanaan program gelembung pelancongan di pulau ini.

Perbincangan itu yang berlangsung selama dua jam pada Jumaat malam dan dipengerusikan Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari itu adalah bagi menentukan mengenai prosedur operasi standard (SOP) sekiranya gelembung perjalanan itu dilaksanakan.

"Kita telah menyediakan cadangan SOP bagi kemasukan pengunjung ke pulau ini dan menerima saranan serta input daripada pemimpin komuniti tentang perkara-perkara yang akan dibenarkan dan perkara yang dilarang.

"Ia hanyalah perbincangan terbuka secara maya dan apa sahaja yang dibincangkan akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) pusat bagi mendapatkan kelulusan, bagaimanapun kita telah mencapai persefahaman dan setakat ini tiada keputusan tetap dibuat tentang SOP gelembung perjalanan," kata Dr Ismuni kepada Bernama paad Sabtu.

Beliau berkata SOP berkenaan adalah bagi mengawal jangkitan COVID-19 dan mencegah Labuan daripada terjerumus semula ke situasi sukar akibat wabak itu.

"Sebagai petugas barisan hadapan, menjadi tanggungjawab kami untuk mengawal risiko penularan dan perkara yang membimbangkan ialah kemasukan pelawat ke Labuan dari seluruh negara dikhuatiri akan menyebabkan peningkatan semula kes COVID-19, sekiranya SOP dilonggarkan," katanya.

"SOP tersebut dikuatkuasakan bagi mencapai keseimbangan antara keperluan ekonomi dengan kesihatan awam. Kita mahu menyelamatkan nyawa dan pada masa yang sama membolehkan kelangsungan kehidupan," katanya.

BACA: Kelonggaran SOP kuarantin, sektor ekonomi di Labuan mulai 1 Sept 

BACA: Langkawi jadi perintis gelembung perjalanan bermula 16 Sept - PM

Sementara itu Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Labuan Mohd Dzulfaizal Ab Manan berkata perbincangan tersebut penting bagi mengelak berlakunya saling menyalahkan antara satu sama lain.

Perbincangan itu turut disertai Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, Senator Datuk Bashir Alias, Ketua Bersatu Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman dan wakil Persatuan Pengamal Media Labuan.

Program rintis gelembung pelancongan telah bermula di Langkawi pada 16 Sept lepas, setelah sekian lama sekatan merentas negeri dilaksanakan untuk membendung penularan COVID-19.

-- BERNAMA