KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melancarkan Rumah Prihatin@Grand Seasons, yang menawarkan lima komponen utama kepada penerimanya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan inisiatif tersebut berjaya dirancang walaupun dalam waktu yang singkat.

Lima komponen utama tersebut melibatkan Dapur Prihatin iaitu dapur berpusat dijangka akan menyediakan 1000 pek makanan setiap hari untuk diedarkan kepada golongan yang tidak berkemampuan, barisan hadapan, gelandangan serta fakir miskin.

Kedua, Khidmat Kesihatan Mental Prihatin yang memainkan peranan dalam isu kesihatan mental di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dengan mewujudkan khidmat kaunseling bersama kaunselor berdaftar yang dijamin kerahsiaannya.

"Khidmat kaunseling bagi menguruskan beban kewangan turut disediakan," ujarnya.

Seterusnya yang ketiga, Bilik Penginapan Prihatin iaitu khidmat penginapan hotel 'Bayar Sekadar Mampu' (BSM) kepada golongan musafir, pelajar-pelajar dan individu-individu yang memerlukan tempat penginapan sementara.

Keempat, Khidmat Vaksinasi Prihatin iaitu perkhidmatan vaksinasi untuk golongan OKU, gelandangan, penjaja dan juga kepada mereka yang memerlukan bantuan khas daam usaha memperkasakan lagi Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Kelima, Pusat Gerakan Jejak Prihatin yang  juga merupakan pusat gerakan sukarelawan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan MPP bagi menggerakkan usaha mencari golongan-golongan terkesan dari pintu ke pintu untuk untuk dihulurkan bantuan.

Annuar berkata, walaupun inisiatif ini bukanlah berasaskan keuntungan, beliau menekankan supaya khidmat yang diberikan mestilah khidmat yang  berkualiti untuk warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.