Kementerian Wilayah Persekutuan mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan segera terhadap pihak yang gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar kawasan Pasar Borong Selayang.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ketidakpatuhan terhadap PKP itu membabitkan pekerja dan peniaga di kawasan pasar berkenaan khususnya melibatkan warga asing.

"Saya diberi maklum ada ketidakpatuhan PKP oleh peniaga dan penjaja di sekitar Pasar Borong Selayang khususnya oleh warga tertentu.


"Saya telah mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan supaya segera bertindak tegas sekiranya benar berlaku ketidakpatuhan dalam kawasan berkenaan," tegas beliau menerusi satu ciapan di akaun Twitter miliknya pada Selasa.