Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin berkata, peningkatan ketara itu berikutan orang ramai yang membeli makanan dari kedai makan atau bazar Ramadan yang menggunakan bungkusan-bungkusan bekas terutama plastik.
“Penggunaan itu menyebabkan jumlah sampah yang dikutip meningkat kepada 430 tan sehari pada bulan puasa.
“Jumlah tersebut lebih sebanyak 23 peratus berbanding 350 tan jumlah sampah sehari pada waktu-waktu biasa,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Menurut beliau, jumlah tersebut dijangka meningkat lebih tinggi dengan pembuangan sampah kekal seperti perabot menjelang seminggu sebelum perayaan.
“Dekat nak raya, orang ramai membersihkan rumah, ada yang menggantikan perabot dengan membuang kelengkapan lama seperti sofa, meja makan dan karpet.
“Sampah ini dibuang di tempat pembuangan biasa di kawasan perumahan atau flat menyebabkan masalah kerana lori sampah akan rosak jika mengangkut sampah itu,” katanya.
Beliau berkata, sehubungan itu MPKB-BRI buat pertama kali sempena Ramadan dan Aidilfitri tahun ini menyediakan perkhidmatan mengangkut sampah kekal tersebut dengan kadar caj yang rendah sekitar RM10 sehingga RM30.
“Mereka yang memerlukan perkhidmatan ini bolehlah menghubungi MPKB-BRI. Insya-ALLAH dalam masa seminggu selepas dihubungi, sampah-sampah akan diangkut dan dibuang ke tempat yang sepatutnya.
“Kami juga berhasrat meneruskan perkhidmatan ini dalam pada waktu biasa dengan menyewa lori yang bersesuaian,” katanya.
Beliau menambah, jadual kutipan sampah di daerah itu dibahagikan melalui tiga zon dan pengurusan di dua zon sudah diswastakan.
“Kami berharap orang ramai membuang sampah di dalam tong sampah yang disediakan. Sampah yang tidak dibuang di dalam tong menyebabkan MPKB-BRI perlu menggunakan jentera penyodok dan lori mengakibatkan belanja yang tinggi.
“Jadi, buang sampah dengan cara yang betul iaitu dibungkus dan diikat dengan rapi sebelum dibuang ke dalam tong bagi mengelak bertaburan,” katanya. - Sinar Harian