KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi jaminan kuota bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi adalah kekal.

Menterinya Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan juga memberi jaminan bahawa pelajar cemerlang SPM 2023 yang memperoleh keputusan 10A juga diberi jaminan tempat dalam matrikulasi atau pengajian Asasi di Universiti Awam.

"Lanjutan daripada itu juga Perdana Menteri turut memaklumkan kepada pihak KPT untuk terus membuat penilaian yang sama buat pelajar-pelajar yang memperolehi 10A ke atas untuk mereka mendpaat tempat belajar di universiti yang menawarkan tempat ke kursus asasi.

"Oleh yang demikian pihak kementerian dan KPT akan bekerjasama dalam memastikan supaya pelajar-pelajar yang memperolehi 10A ini akan diberikan tempat.

"Ini merupakan salah satu dasar yang dibuat oleh kerajaan bagi memastikan setiap pelajar yang berusaha, berjaya dalam pengajian diberikan tempat yang sewajarnya," tambahnya lagi.

Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin juga memberi jaminan bahawa kerajaan mengekalkan kuota Bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kuota itu tetap dikekalkan kerana ia termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan kedudukan istimewa orang Melayu serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Kenyataan dikeluarkan Zambry susulan pengumuman dilakukan Perdana Menteri pada Ahad di mana semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian pada peringkat matrikulasi bermula tahun ini. Ia merupakan keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lepas.

Anwar berkata walaupun keputusan itu memberikan pengiktirafan pada kecemerlangan tanpa mengira kaum dan latar belakang, namun kerajaan pada masa sama tegas mempertahankan kuota Bumiputera.