Kumpulan pertama 483 jemaah haji Malaysia musim 1438 Hijrah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohamad Bin Abdulaziz di sini, kira-kira 9.30 pagi waktu tempatan (2.30 petang waktu Malaysia) pada Isnin.

Ketibaan mereka di bangunan penginapan jemaah haji di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick pada kira-kira 1 petang (6 petang waktu Malaysia) disambut Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Zainol Rahim Zainuddin; Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438H, Nurrinanuwar Shamsuddin; dan Konsul Haji, Mohammad Saimi Mat Som.

Jemaah haji berkenaan turut disambut petugas Tabung Haji (TH) yang telah melakukan pelbagai persiapan sejak beberapa bulan lepas di Madinah dan Makkah.

Kumpulan jemaah haji itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 5.30 pagi waktu Malaysia, pada Isnin.

Sebanyak 30,200 jemaah haji Malaysia akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini, dan mereka dijadual tiba di Madinah dan Makkah secara berperingkat bermula hari ini.

Sementara itu, Zainol Rahim mendoakan semua jemaah haji Malaysia berada dalam keadaan sihat dan dapat melaksanakan ibadah haji dan umrah dengan baik.

Zamzuri Ariffin, 49, dan isterinya Rohana Latih, 45, masing-masing dari Kelantan, yang pertama kali mengerjakan ibadah haji, menyatakan syukur kerana terpilih menjadi 'Tetamu Allah'.

-- BERNAMA