SEPANG : Lebih 160 petugas dari Lembaga Tabung Haji (TH) berangkat ke Arab Saudi bagi membuat persiapan awal bagi operasi musim haji 2024 pada Khamis.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman memaklumkan, seramai lebih 600 orang telah terpilih menjadi petugas Operasi Haji Tanah Suci (OHTS) pada tahun ini.

Menurut beliau, kesemua petugas akan memastikan semua sektor operasi antaranya pengurusan maktab dan zon, kesihatan, bimbingan ibadat haji dan ziarah, kewangan, media, sajian, bagasi, khidmat pelanggan dan lain-lain berada dalam keadaan terbaik.

“Keberangkatan petugas haji dilakukan secara berperingkat menerusi beberapa siri penerbangan. Hari ini merupakan pelepasan kumpulan kedua melibatkan petugas kebajikan, perubatan, media dan agensi luar seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Kesemua petugas yang bertindak sebagai barisan hadapan ini telah mengikuti kursus komprehensif bagi memastikan mereka bersedia untuk menyantuni 31,600 bakal haji negara,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan.

Dua editor Astro AWANI, Azlinariah Abdullah dan Azlinda Md Salim merupakan antara pengamal media yang akan mengadakan liputan haji tahun ini.

Azlinariah Abdullah (kiri) dan Azlinda Md Salim mewakili Astro AWANI untuk mengadakan liputan musim haji 2024.

Penerbangan kumpulan pertama petugas telah mula berlepas pada 30 April diikuti dengan tiga kumpulan besar iaitu pada 2 Mei, 6 Mei dan 9 Mei.

Penerbangan pertama jemaah haji negara akan bermula 9 Mei ini manakala penerbangan terakhir adalah 9 Jun 2024.

Tahun ini, hari wukuf jatuh pada 9 Zulhijjah yang dijangka pada hari Sabtu, 15 Jun 2024.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa jemaah haji negara melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines.