KUALA PERLIS: Malang tidak berbau ke atas seorang kru feri kargo Roll-on/roll-off (Roro) apabila terjatuh ke dalam laut dan lemas ketika sedang menambat tali roro yang sedang berlabuh di Terminal Jeti Kargo, Kuala Perlis, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 11.40 pagi ketika mangsa, Mohamad Rasidi Baharum, 47, yang bertugas sebagai salah seorang kru roro itu sedang menjalankan kerja menambat tali di bahagian belakang sebelah kanan feri itu.

“Ketika kejadian, mangsa dipercayai tergelincir dari bahagian belakang feri berkenaan sehingga kepalanya terkena pada tiang besi menyebabkan mangsa pengsan sebelum jatuh ke dalam laut.

"Kejadian disedari nelayan yang berada berhampiran lalu bergegas ke lokasi untuk mencari mangsa sebelum berjaya menemui mangsa pada jam 11.50 pagi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mangsa yang tidak sedarkan diri dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk rawatan lanjut bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 12.40 tengah hari.

Mayat mangsa yang berasal dari Bandar Laguna, Merbok, Sungai Petani difahamkan akan menjalani proses bedah siasat di hospital berkenaan bagi menentukan punca kematian.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Wari memaklumkan, ketika kejadian, feri kargo Roro itu membawa muatan 180 penumpang serta 40 kenderaan yang baru tiba dari Langkawi.

Katanya, feri berkenaan dikendalikan 12 kru termasuk seorang kapten dan penolong kapten feri.