Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, jika isu berkenaan gagal ditangani secara bersama, ia dibimbangi akan menimbulkan permasalahan dalam kalangan negara anggota.
"Pendekatan yang dibuat ke atas Myanmar ini perlu diselesaikan secara ASEAN dan tidak boleh dilakukan satu negara sahaja tanpa membincangkan negara ASEAN lain.
"Kita mengadakan siri perbincangan termasuk dengan menteri-menteri luar ASEAN pada Feb lalu untuk membincangkan pendekatan terbaik. Komitmen kita untuk mencapai Five-Point Consensus (5PC) yang telah disebutkan tadi," katanya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pada persidangan Dewan Rakyat di ibu negara hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal mahu tahu apakah pihak Kerajaan Persekutuan akan meneruskan usaha untuk mencari penyelesaian kepada konflik di Myanmar yang telah dimulakan oleh kerajaan terdahulu.
Ujar Zambry lagi, Malaysia konsisten dalam usaha mencari penyelesaian konflik di Myanmar dengan mengekalkan pendekatan-pendekatan secara dua hala dan serantau.
"Justeru Malaysia akan meneruskan usaha-usaha sedia ada dalam membantu Myanmar mengatasi konflik di negara itu. Usaha tersebut termasuk menyeru semua pihak kembali ke meja rundingan demi mencapai satu penyelesaian damai dan berkekalan," tambahnya.
Katanya, Malaysia melihat situasi di Myanmar sebagai masalah serantau yang menggugat keselamatan, keamanan dan kemakmuran ASEAN.
Tambahnya, isu Myanmar juga tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha pembangunan ekonomi ASEAN.