KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius dakwaan berhubung penjualan sijil akademik daripada peringkat sekolah hingga pengajian tinggi.

Dalam satu kenyataan, KPT menegaskan, tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana Institusi Pendidikan Tinggi Awam atau Swasta (IPTA/ IPTS) mahupun individu yang didapati terlibat.

"Di peringkat kementerian, terdapat pemantauan dan kawal selia yang dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui pemeriksaan ke atas IPTS selaras dengan Akta Institusi Pendidikan Swasta 1996 (Akta 555) berkaitan pengeluaran sijil palsu.

"Selain itu, KPT mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan untuk memastikan kesahihan sijil akademik bagi tujuan pengesahan oleh orang awam," kata KPT dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

KPT juga memaklumkan, terdapat beberapa kes penipuan sijil akademik telah berjaya dirungkai sebelum ini melalui aduan awam.

Jelasnya, ia melibatkan sindiket penipuan yang memperdaya mangsa dengan menggunakan nama IPT terlibat.

"Laporan polis juga akan dibuat untuk memastikan sindiket penipuan ini boleh dikekang.

"Dalam pada itu, orang ramai juga boleh menyemak kelayakan dan maklumat berkenaan penerima Ijazah Kehormat dan Ijazah Kedoktoran di portal GREaT KPT melalui pautan: https://dohe.mohe.gov.my/award/.

"Orang ramai juga dinasihati agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan helah sindiket penipuan dan penjualan sijil akademik ini," ujarnya.

KPT turut berikrar untuk terus komited untuk memastikan sistem pendidikan tinggi tidak tercemar dan menyalahi undang-undang.