KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan RM80 juta bagi menampung kos penyelenggaraan mana-mana sekolah yang berisiko dilanda banjir, ribut atau kecemasan seperti kebakaran pada tahun ini.

Menteri berkenaan Fadhlina Sidek berkata kerja-kerja yang dilaksanakan merangkumi penyelenggaraan struktur dan bukan struktur bangunan, bumbung, pendawaian elektrik, pagar, longkang dan lain-lain penyelenggaraan kecil.

Bagi projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah yang telah lama diluluskan namun mempunyai isu pelaksanaan, beliau berkata KPM akan membuat penelitian dan perancangan semula dengan mengambil kira faktor seperti ketersediaan di tapak, keperluan pembangunan semasa dan kenaikan kos terkini projek agar tidak menjejaskan fungsi pembinaan tersebut.

"Kelewatan pelaksanaan projek bukanlah disebabkan oleh faktor peruntukan sebaliknya disebabkan oleh faktor lain seperti aksesibiliti, keperluan penyesuaian reka bentuk berdasarkan keadaan muka bumi di tapak dan faktor prestasi kontraktor," katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Negara hari ini.

Menyentuh isu fasiliti tandas untuk murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK), Fadhlina berkata kementerian akan memberi fokus terhadap penyediaan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) di sekolah bawah KPM.

Katanya KPM akan memastikan sekolah dapat memenuhi keperluan MBPK dengan memastikan penyesuaian munasabah dapat diberi termasuk mengubah kelas ke tingkat bawah, membenarkan murid menggunakan tandas guru sekiranya tiada tandas OKU serta menyediakan tanjakan mudah alih.

-- BERNAMA