Kementerian Pendidikan digesa meninjau keadaan beberapa sekolah di daerah Papar yang dilihat daif dan memerlukan bantuan infrastruktur segera.

Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, perkara itu diatasi segera kerana melibatkan hal keselamatan selain membolehkan para pelajar menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran dengan baik.

Sehubungan itu, Ahmad akan membawakan isu tersebut ke sidang Parlimen pada 13 Julai ini sebagai harapan dan membuka mata pihak yang berkenaan.

"Dalam masa terdekat ini juga, seperti mana yang kita tahu 13 Julai kita akan ada sidang Parlimen.

"Saya akan membuat sedikit permohonan kepada menteri-menteri yang berkenaan dan akan juga akan membawa perkara ini agar ada penyelesaian tuntas dapat dilakukan segera," katanya.



Ahmad berkata demikian ketika melakukan tinjauan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benoni, Papar, pada Khamis.

Terdahulu, dalam lawatan berkenaan, Ahmad mendapati terdapat beberapa fasiliti sekolah terbabit memerlukan bantuan segera seperti penggunaan makmal pelajar dan infrastruktur usang yang perlu diganti segera.

"Akan tetapi dalam lawatan saya itu, saya terasa dan terharu apabila saya melihat banyak kelas-kelas yang memerlukan pertolongan daripada pihak atasan dan pihak kementerian seperti bilik makmal ini sudah lama tidak dapat dipakai," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menambah, selain SMK Benoni, sebuah lagi sekolah di Papar, SMK Kinarut juga dikenal pasti memerlukan bantuan sama kerana terdapat beberapa fasiliti usang yang memerlukan perhatian segera oleh pihak berkenaan.