Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mewujudkan satu agensi khusus bagi meningkatkan kecekapan pengurusan strata.

Menterinya Zuraida Kamarudin berkata buat masa ini, hampir 73 peratus kediaman di Malaysia adalah berbentuk strata dan keperluan agensi itu adalah bagi menangani isu berkaitan strata.

"Mungkin kita perlu kaji semula dasar pengurusan rumah strata di bawah Pesuruhjaya Bangunan atau Commisioner of Building (COB) dan pengurusan strata.

"Mesti ada satu kajian untuk wujudkan satu agensi besar, kerana perlu urus isu rumit dalam pengurusan strata ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penganut Hindu di Kuil Sri Raja Rajeswary, Ampang, dekat sini.

Dalam pada itu, Zuraida berkata KPKT akan turut perkasa Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS).

"KPKT sedang dalam proses kaji semula, untuk reform polisi tribunal, polisi COB, pengurusan strata dan juga polisi rumah terbengkalai.

"Kita juga sedang mengadakan sesi bengkel bersama pihak berkepentingan, dan pindaan akta (sekiranya perlu) juga akan dilihat dan diharap kajian ini selesai sebelum akhir tahun 2020," katanya.

Sementara itu, mengenai perbincangan dengan pihak pengurusan kuil terbabit, Zuraida yang juga Anggota Parlimen Ampang berharap pihak kuil dan pihak Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) yang terlibat dalam Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) (projek berhampiran kuil) dapat bekerjasama untuk kesan positif jangka panjang.

"Bilangan penganut ke kuil dikatakan berkurangan akibat daripada pembinaan lebuh raya ini, selain kuarters sami yang terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan SUKE.

"PROLINTAS telah membina kabin sementara bagi sami buat masa ini namun mungkin mereka boleh berbincang dengan pihak terbabit untuk membina penempatan kekal," katanya.

Projek SUKE yang bermula 2016 itu dijangka selesai pada Mei 2020.

Antara isu lain yang dibangkitkan pengurusan kuil ialah urusan pendaftaran perkahwinan di kuil, menjadikan kuil sebagai hab pelancongan dan menukar status tanah tempat letak kereta sebagai tanah rumah ibadat (sekarang tanah komersial).

- BERNAMA