Nga berkata, peruntukan itu adalah bagi menjayakan tujuh kempen iaitu Premis Makanan Bersih, Pasar Awam Bersih serta Tandas Awam PBT Bersih, Menawan dan Wangi (BMW).
Beliau berkata, kempen itu turut melibatkan Kempen Membasmi Infestasi Tikus, Pengurusan Haiwan Terbiar, Cegah Wabak Denggi dan Membasmi Hotspot Denggi.
"Peruntukan ini adalah penting kepada PBT, khasnya bagi membaik pulih dan memperindahkan struktur kemudahan awam yang rosak, uzur serta menjalankan aktiviti gotong-royong dengan komuniti setempat," katanya.
Nga berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan timbalannya, Datuk Aiman Athirah Sabu pada majlis Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (SHKPS) 2024 peringkat KPKT, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, KPKT juga telah memperuntukkan RM150 juta bagi menaik taraf 1,000 tandas awam kepada tandas berstatus BMW, RM50 juta untuk menaik taraf pasar awam dan gerai MADANI, serta RM60 juta untuk menaik taraf medan selera PBT.
"Ramai beri gelaran bapa tandas kepada saya tetapi saya tidak kisah, kerana isu kesihatan persekitaran ini tidak boleh dipandang remeh dan sangat penting untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, dalam memastikan pembangunan yang mampan," katanya.
Pada majlis sambutan bertemakan Persekitaran Lestari Pemacu Malaysia MADANI itu, tujuh PBT telah diumumkan sebagai juara bagi setiap kempen tersebut.
Kempen Premis Makanan Bersih 2024 menyaksikan Majlis Perbandaran Temerloh telah muncul sebagai juara, Pasar Awam Bersih 2024 (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) manakala Tandas Awam PBT BMW 2024 (Majlis Perbandaran Teluk Intan).
Selain itu, Majlis Bandaraya Ipoh muncul sebagai juara bagi Kempen Membasmi Infestasi Tikus 2024, Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar 2024 (Majlis Daerah Sabak Bernam), Kempen Cegah Wabak Denggi 2024 (Majlis Bandaraya Petaling Jaya), manakala Kempen Membasmi Hotspot Denggi 2024 dimenangi Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
Sementara itu, Timbalan Setiausaha MPKL, Zulkefli Mohamed Arif berkata, kemenangan itu membuktikan kejayaan komitmen antara KPKT, PBT dan komuniti setempat, menerusi program gotong royong bersama masyarakat yang dilaksanakan di Taman Changgang Jaya, Bukit Changgang bermula Mei hingga Julai lepas.
"YB (Yang Berhormat) Aiman Athirah turut serta dalam menjayakan program ini bersama kami di kawasan perumahan ini yang menjadi kawasan projek rintis kita," katanya. - BERNAMA