PORT DICKSON: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM150 juta bagi pembinaan projek Program Perumahan Rakyat (PPR) baharu di Mukim Pantai, Seremban dekat sini menerusi 'Program Sentuhan Kasih KPKT', kata Menterinya Nga Kor Ming.

Beliau berkata projek perumahan berkonsepkan kondominium itu membabitkan 700 unit rumah di atas tanah berkeluasan 18.5 hektar dan dijangka dimulakan hujung tahun ini yang pastinya merealisasikan impian golongan tidak berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

"Tiga kali saya datang ke negeri ini, saya umum peruntukan RM13.3 juta, minggu lepas pula RM31.04 juta, dan pada hari ini saya tambah lagi sebanyak RM150 juta untuk bina PPR. Ia merupakan projek PPR terbesar dan perlu dilakukan secepat mungkin kerana berkait rapat dengan kesejahteraan rakyat.

"PPR dengan harga sekitar RM45,000 seunit itu akan dibina berdekatan bandar Seremban dan pelbagai kemudahan di sekitar.

"Sebahagiannya akan mempunyai 'green lungs' semula jadi sebagai kawasan riadah selaras dasar KPKT memupuk Matlamat Pembangunan Lestari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis penyerahan Surat Tawaran Skim Perumahan Secara Sewa-Untuk-Milik (RTO) PPR Ladang Tanah Merah kepada 94 penerima yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di sini hari ini.

Nga berkata menerusi perancangan dan pembinaan landskap yang baik berkonsepkan hijau itu dapat membina kawasan perumahan yang mesra penghuni sekali gus menangkis tanggapan serong terhadap PPR.

"Saya yakin Mukim Pantai bukanlah satu-satunya lokasi PPR yang dijanjikan oleh kerajaan Negeri Sembilan.

"Kalau ada lagi tanah ditawarkan bina PPR, KPKT akan datang lagi. Jadi kita alu-alukan negeri lain untuk turut menawarkan tanah untuk kita bina PPR untuk rakyat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata PPR Ladang Tanah Merah atau PPR Desa Tanjung itu melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM20 juta dengan 100 unit rumah berkeluasan 700 kaki persegi termasuk seunit rumah Orang Kurang Upaya (OKU), dewan serbaguna, surau, medan selera dan tadika.

"Projek berkenaan merupakan projek istimewa kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri kepada komuniti estet di kawasan tersebut," katanya menambah selain PPR itu, terdapat tiga PPR dibangunkan KPKT iaitu PPR Senawang, PPR Ladang Siliau dan PPR Rantau.

Penerima rumah berkenaan, Japri Khamis, 58, melahirkan kegembiraan dan keterujaannya atas pemberian rumah itu dengan harga mampu milik selain menyifatkan ia sebagai hadiah sempena Aidiladha yang bakal tiba nanti.

"Alhamdulillah, sebelum ini saya tak pernah beli rumah lagi, saya memang lahir di sini dan bekerja di kilang di Ladang Tanah Merah hampir 35 tahun, saya rasa kalau ikut ekonomi sekarang kalau tak ada bantuan sebegini payah untuk saya beli rumah. Orang ramai perlu rebut peluang ini, " katanya.

-- BERNAMA