MELAKA: Kerajaan negeri yang mempunyai tanah di lokasi strategik dan sesuai bagi pembangunan perumahan Program Residensi Rakyat (PRR) boleh menawarkannya kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT, Suhaimi Ali @ Ahmad berkata, menerusi tawaran itu, kerajaan Persekutuan akan sedaya upaya mencari dana pembangunan tanpa perlu pindah milik tanah kerajaan negeri kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

"Langkah itu bagi memastikan proses pembinaan perumahan untuk rakyat di negara ini dapat dipermudah dan dipercepat selaras dengan hasrat KPKT memastikan setiap rumah yang disediakan memenuhi piawaian tinggi dari aspek keselesaan, keselamatan dan berdaya huni.

"Apa yang penting ialah kemudahan perumahan yang dibina oleh kerajaan Persekutuan ini berteraskan Prinsip MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci PRR Tangga Batu, di sini, pada Khamis.

Penyerahan kunci itu dilakukan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Suhaimi berkata, KPKT dalam perancangan membangunkan 200 unit rumah PRR di Bukit Katil di sini pada tahun hadapan dan sehingga kini, kerajaan Persekutuan menerusi KPKT melaksanakan lima projek PRR di Melaka membabitkan 1,556 unit kediaman.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 600 unit rumah dibangunkan di PRR Krubong, PRR Tehel (500), PRR Sungai Putat (336) dan PRR Tangga Batu (120).

"Satu lagi projek iaitu PRR Klebang melibatkan 255 unit rumah sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2025," katanya.

Sehubungan dengan itu, katanya, bakal penyewa atau penyewa sedia ada dinasihatkan supaya menjaga kebersihan rumah serta kawasan persekitaran untuk mewujudkan suasana kejiranan kondusif.

Suhaimi berkata, penyewa juga diharap dapat memanfaatkan peluang memiliki kediaman itu dan tidak sesekali menyewakannya kepada pihak ketiga atau menjadikannya sebagai rumah inap desa.

Sementara itu, Rais pada sidang media selepas program itu berkata, kerajaan negeri berharap Skim Sewa untuk Beli rumah PRR dapat diperluas di semua PRR di Melaka agar rakyat dapat memiliki rumah berkenaan dan tidak perlu menyewa dalam tempoh yang lama.

"Setakat ini, hanya dua PRR di Melaka iaitu PRR Krubong dan Tehel telah diberi kelulusan melaksanakan skim berkenaan bagi penyewa terlibat," katanya.

- BERNAMA