ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) optimis usaha penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun dapat dilaksanakan pesawah di negara ini, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pengeluaran beras negara.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kementeriannya sememangnya kini menumpukan terhadap langkah penanaman padi lima musim dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berperanan memberi tunjuk ajar kepada pesawah.

Beliau yakin pesawah berkeupayaan melaksanakan cabaran itu dengan bimbingan dan sokongan pihak MADA.

"MADA akan beri motivasi dan (buah) fikiran sebab sekarang ini bila kita dah buat tanaman padi ala Sekinchan sebanyak 187 hektar (di Simpang Empat, Perlis dan Ayer Hitam, Kedah), bila mereka (pesawah) tengok hasilnya nanti hebat, mereka yang lain akan mula datang untuk (tanam padi) berskala besar.

"...dan kita harap sekurang-kurangnya menjelang 2030 nanti, kita boleh capai dah (sasaran) sekitar 80 peratus (tahap sara diri (SSL) bagi pengeluaran beras). Itu yang kita harapkan dan saya memang tumpu betul hal ini," katanya.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sentuhan Agro MADANI dan majlis penyampaian bantuan wang ihsan serta bantuan khas kepada pesawah MADA di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA C-III, Tajar dekat sini pada Rabu.

Beliau berkata 1,200 hektar sawah dikenal pasti untuk pelaksanaan projek rintis penanaman padi lima musim dan buat permulaan ia melibatkan 213 hektar.

Pada 15 Julai lepas, media melaporkan Kerajaan Perpaduan akan memastikan nasib pesawah padi terbela dengan meningkatkan pendapatan mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan sebagai berkata beberapa projek rintis bagi penanaman padi lima musim dalam dua tahun telah dijalankan antaranya oleh MADA dan Lembaga Zakat Negeri Kedah untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi.

-- BERNAMA