Kawasan zon merah di negara ini kembali berkurangan daripada 10 kepada 9 kawasan selepas Kota Samarahan, Sarawak mencatatkan penurunan kes aktif COVID-19 kepada 36 kes.

Menerusi infografik dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM) pada Isnin, sembilan daerah yang kekal menjadi zon merah ialah Petaling dengan kes 60 kes aktif, Gombak (71), Batu (102), Ibu Kota (147), Kampung Bharu (73), Sri Petaling (45), Kluang (41), Rembau (130) serta Kuching (85).


KKM dalam pada itu, menyatakan kebanyakan zon merah melibatkan kes baharu dari kluster dan lokaliti di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sementara itu, sebanyak 76 daerah lain diletakkan di bawah kategori zon kuning dan 116 daerah zon hijau.

Negeri Terengganu dan Perak menuju kategori zon hijau atau negeri sifar kes aktif apabila masing-masing hanya merekodkan 12 dan 2 kes aktif.