KUALA LUMPUR: Indikator baharu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat hingga ke peringkat daerah yang akan diumum November depan perlu mengambil kira banyak dimensi termasuk persekitaran.


Ringkasan AI
  • Indikator baharu untuk mengukur kos sara hidup hingga ke peringkat daerah akan diumumkan pada November, mengambil kira persekitaran dan perbezaan kos antara bandar dan luar bandar.
  • Kos sara hidup dan inflasi berbeza mengikut tempat; orang di bandar berdepan kos yang berbeza berbanding orang di pedalaman, termasuk perbezaan dalam perbelanjaan untuk rekreasi dan makanan.
  • Kegiatan kartel dan monopoli masih menjejaskan harga barang dan kos sara hidup, dan indikator baharu diharapkan dapat membantu mengurangkan gangguan harga.


Provost, Malaysia University of Science and Technology (MUST), Prof. Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, perbelanjaan yang menentukan inflasi dan kos sara hidup berbeza mengikut tempat dan persekitaran, dan tidak hanya tertumpu pada mereka yang berada di bandar sahaja.

"Cara hidup akan menentukan bakul itu juga. Saya bagi contoh kalau kos sara hidup di Sabah dan Sarawak menjadi semakin tinggi, jauh di ceruk rantau berbanding di bandar.

"Jadi kos sara hidup orang di bandar jauh lebih rendah berbanding di pedalaman kerana kos pengangkutan. Jadi harga beras berbeza, minyak berbeza, begitu juga bakul ini.

"Orang bandar rekreasi dalam bentuk fast food, shopping. Orang kampung rekreasi ke pasar malam, jadi perlu lihat komposisi. Di bandar beli makanan di luar satu cara hidup, di desa tak jadi budaya kerana susah dapat perkhidmatan.

"Kita perlu bukan saja kandungan tapi persekitaran yang jadi penentu utama kos sara hidup," katanya ketika muncul dalam program Dialog Poket Rakyat, pada Jumaat.

Hal itu turut diakui Koordinator Sekretariat Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia - Matlamat Pembangunan Lestari (APPGM-SDG) Bahagian Utara, Dr Thanaraj Murudi, yang berpendapat kos sara hidup dan taraf hidup adalah saling berkait rapat.

"Kalau kita lihat pendapatan di desa dan bandar, walaupun tinggi di bandar tapi mereka lebih tidak mencukupi dalam seharian, mereka mudah miskin.

"Untuk jadi pengukur, perlu ada banyak dimensi, kalau sebelum ini ukur pendapatan saja tetapi selepas banyak kajian kita nak kerajaan beri fokus pada pendidikan sebab ibu bapa di luar bandar mereka tak dapat sokong anak ke kelas tambahan, tak ada duit cukup untuk beli laptop dan sebagainya.

"Untuk kesihatan pula di desa semakin tinggi kedua-dua pihak ada masalah bagi B40 dan ke bawah. Jadi idea perdana menteri ini signifikan apabila tertumpu di lokaliti dan boleh bawa kepada kepesatan ekonomi antara bandar dan desa menjadi lebih seimbang," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusof melihat kegiatan kartel dan monopoli masih menjadi musuh dalam selimut kepada pengguna.

Golongan ini sering menggunakan alasan seperti penarikan subsidi untuk menaikkan harga, yang kemudiannya akan mengganggu bekalan dan rantaian.

Justeru, indikator baharu itu juga diharap mampu mengurangkan gangguan kepada harga barang dan kos sara hidup.

"Sebagai contoh semalam ada keluar berita kos alat ganti kenderaan telah meningkat. Apabila ini meningkat, ia akan meningkatkan kos logistik sebab kenderaan perdagangan yang bergerak mungkin dari Bukit Kayu Hitam ke Johor, tak mungkin lori itu dalam keadaan baik sepenuhnya, mereka terpaksa menyelenggara, sebulan kadang-kadang lima kali dan akan menggunakan kos alat ganti kenderaan dengan kerap.

"Jadi walaupun diesel diberi secara bersasar tapi ada barang yang meningkat harganya yang menyebabkan kos mereka naik dan mereka terpaksa menaikkan tambang logistik. Ini akan beri impak pada produk yang dihantar termasuk keperluan asas," katanya. 

Awal minggu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi di Dewan Rakyat berkata, indikator baharu itu akan memberi gambaran secara kolektif mengenai jumlah perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah.

Anwar berkata, pembangunan indikator baharu kos sara hidup secara terperinci sehingga ke peringkat daerah sangat penting dalam usaha penilaian semula pengukuran tahap kos sara hidup rakyat.