Menurut Perdana Menteri, beliau menerima kenyataan walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menangani isu kos sara hidup dan mengawal inflasi, ia masih menjadi masalah utama rakyat.
“Walaupun kos sara hidup dan inflasi (naik) dua, tiga peratus berbanding 40 peratus di Turkiye tapi kita terima kenyataan kerana adanya ihsan.
“Sebab itu saya tekankan, dalam pembangunan dan kerangka MADANI, kemampanan dan tindakan penting tetapi mesti disertai dengan ihsan.
“Kalau berbicara soal pelarasan gaji, tentang keprihatinan dan kos sara hidup, semua tindakan harus berasaskan ihsan,” katanya.
Perdana Menteri turut mengulangi ikrarnya untuk tidak akan bertolak ansur dalam isu rasuah dan pelanggaran tatakelola, dan menyeru penjawat awam untuk turut sama memikul tanggungjawab menambah baik perkhidmatan awam.
“Saya tahu dalam kalangan rakan-rakan dan pembangkang, marah bila saya cakap soal tatakelola tetapi kita tahu kita warisi sistem di mana penyelewangan dan rasuah sudah jadi sistemik.
“Mana mungkin Malaysia hebat, mana mungkin satu dunia di mana umat Islam majoriti, mana boleh bangsa yang berbudaya yang hormat pada nilai dan akhlak, mengizinkan ini terus berlaku.
“Apabila kita ambil tindakan, ada yang tak berpuas hati. Kena jelas, kita bermaksud menyenangkan rakyat. Kita tak bermaksud menyenangkan perasuah, perompak dan penyeludup,” tegasnya ketika berucap pada majlis Amanat Perdana Menteri bersama warga penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Pelancaran Portal Ihsan Madani, pada Jumaat.
Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.
Portal Ihsan MADANI adalah satu platform untuk pengguna mendapatkan serta mengenal pasti pelbagai program dan inisiatif kerajaan dengan lebih cepat dan mudah terutama dalam aspek meringankan beban sara hidup rakyat.
Ia juga akan membantu pengguna mengenal pasti program dan inisiatif yang layak dan sesuai kepada pengguna berdasarkan maklumat yang telah diisi.