KUALA LUMPUR: Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad melancarkan 230 unit rumah mampu milik pada harga bermula RM275,000.


Ringkasan AI
  • Koop Sahabat melancarkan 230 unit rumah mampu milik dengan harga bermula RM275,000 di bawah Projek Rumah Selangorku Shorea Garden.
  • Projek ini adalah kerjasama antara Koop Sahabat dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor (LPHS) di atas tanah seluas 10 ekar dengan nilai pembangunan RM63.8 juta.
  • Koop Sahabat diiktiraf sebagai koperasi kedua terbaik di Wilayah Persekutuan dan mengumumkan dividen 10 peratus untuk tahun kewangan 2023.


Pengerusi Lembaganya, Mohd Najib Mohd Noor berkata Projek Rumah Selangorku Shorea Garden merupakan pembangunan usaha sama antara Koop Sahabat dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor (LPHS).

Jelas beliau, projek berkenaan bakal dibangunkan di atas tanah seluas 10 ekar dengan anggaran nilai pembangunan kasar berjumlah RM63.8 juta.

“Projek perumahan mampu milik ini akan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti dua unit tempat letak kenderaan, pusat komuniti, serta pondok kawalan keselamatan,” dalam satu kenyataan hari ini.

Projek Rumah Selangorku Shorea Garden dilancarkan sempena Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan (HKNWP’24) oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di Putrajaya pada Khamis. 

Dalam pada itu, Mohd Najib memaklumkan Koop Sahabat akan melancarkan beberapa projek lain seperti Integrasi Residensi Prihatin dan Residensi Prihatin di Presint 5, Putrajaya yang diberi nama Residensi Serunai.

Turut akan dilancarkan ialah Rumah SelangorKu Jenis Trio sebanyak 1,210 unit dan 244 unit kondominium di Bukit Bandaraya, Shah Alam.

Sementara itu, Mohd Najib menzahirkan rasa syukur dan terharu kerana Koop Sahabat telah diiktiraf sebagai koperasi kedua terbaik di Wilayah Persekutuan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Persekutuan pada majlis yang sama.

Ujarnya, pengiktirafan itu berdasarkan kecemerlangan dalam urus tadbir dan peningkatan prestasi yang direkodkan pada tahun semasa, sekali gus menyaksikan Koop Sahabat merupakan sebuah koperasi yang diyakini dan berdaya saing di negara ini.

Terdahulu, Koop Sahabat telah mengumumkan pengagihan kadar dividen pada tahun kewangan 2023 sebanyak 10 peratus kepada anggotanya dan berhasrat untuk mengekalkan kecemerlangan prestasi perniagaannya bagi memberi

Pulangan dividen pada kadar yang terbaik pada tahun-tahun mendatang dan seterusnya memberi manfaat kepada lebih 450,000 anggota.