PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengesahkan Kerajaan Perpaduan tidak bercadang meneruskan inisiatif penghalaan semula sistem nama domain (DNS) yang dilihat sebagai suatu langkah yang agak kontroversi, dan didakwa menghalang kebebasan mengakses maklumat.

Beliau bagaimanapun berkata, telah meminta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk meneruskan sesi libat urus yang telah bermula sejak enam bulan lalu, bagi mencari langkah terbaik untuk menangani isu keselamatan dalam talian bagi rakyat Malaysia, khususnya keluarga dan kanak-kanak.

Tegasnya lagi, Kerajaan sama sekali tidak akan berkompromi terhadap keutamaan dan komitmen untuk menjadikan Internet lebih selamat, khususnya bagi golongan yang mudah terdedah kepada bahaya.

“Yang penting waktu ini, saya telah tegaskan bahawa keutamaan (kerajaan) adalah untuk memastikan Internet lebih selamat, untuk kanak-kanak dan keluarga. Kita mengambil kira jenayah yang semakin berhijrah ke dunia siber, bukan hanya dalam media sosial, tapi juga dalam apa kita kenali sebagai world wide web (WWW).

“Maka langkah dan ikhtiar yang lebih menyeluruh perlu diusahakan, dan saya telah meminta MCMC untuk teliti dan cari penyelesaian yang lebih berkesan. Sesi libat urus telah dimulakan, dan akan diteruskan,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian MCMC Datuk Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen dilaporkan sebagai berkata, arahan terhadap penyedia perkhidmatan Internet (ISP) untuk mengalihkan trafik perkhidmatan nama domain (DNS) yang menggunakan pelayan DNS pihak ketiga kembali ke pelayan DNS mereka sendiri tidak akan menjejaskan, mengganggu atau menyekat pengguna daripada melayari laman web yang sah.

Beliau berkata laman web yang terkesan dengan tindakan itu ialah laman web yang menyalahi undang-undang Malaysia, menyebabkan sekatan dikenakan supaya tidak dapat diakses rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, pandangan yang agak berbeza daripada beberapa pihak, khususnya pemain industri teknologi maklumat, serta golongan perniagaan, yang beranggapan langkah tersebut berpotensi untuk mewujudkan penguatkuasaan berat sebelah, termasuk menghalang akses maklumat yang berlawanan dengan visi dan misi kerajaan.

Susulan maklum balas tersebut, Fahmi melalui perkongsian di laman media sosialnya, berkata MCMC diminta untuk menghentikan langkah tersebut, dan mencari alternatif lain yang lebih mampan.

Menjawab soalan sama ada Malaysia akan mengikuti langkah Australia yang tidak membenarkan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun untuk membuka akaun laman sosial, Fahmi berkata, persoalannya bukan mengenai Ddasar, tetapi pelaksanaan terhadap garis panduan oleh penyedia perkhidmatan itu sendiri.

“Had umur pengguna media sosial memang perkara yang saya telah bangkitkan, berulang kali dengan pihak penyedia atau platform media sosial. Setiap kali kita adakan perbincangan itu, Mereka berkata garis panduan mereka sendiri tidak benarkan kanak-kanak di bawah usia 13 tahun buka akaun.

“Tetapi realitinya kanak-kanak seawal umur enam hingga tujuh tahun sudah memiliki akaun, berdasarkan pengamatan saya di lapangan.

“Maka kita lihat platform ada menetapkan had umur, tapi pelaksanaan dasar itu di pihak platform sangat lemah. Di sini kita harap dengan proses perlesenan yang akan kita kenakan kelak, platform lebih serius dalam ikhtiar mengurangkan dan akhirnya tidak membenarkan, kanak-kanak membuka akaun, terutama sekali di bawah usia 13 tahun,” katanya lagi.