Ringkasan AI
- Polis mengesan aktiviti penjualan dadah jenis pil ekstasi serendah RM50 di dalam dan luar premis konsert Pinkfish di Bandar Sunway pada 31 Disember lalu.
- Siasatan mendapati kesemua mangsa membeli dan menggunakan pil ekstasi dalam konsert tersebut, dan ada di antara mereka yang juga minum alkohol. Polis sedang menunggu laporan bedah siasat dan ujian toksikologi.
- Polis telah merakam enam percakapan saksi dan akan memanggil beberapa pihak lagi untuk membantu siasatan, termasuk penganjur konsert dan rakan mangsa.
- Empat individu meninggal dunia selepas menghadiri konsert tersebut, manakala tiga lagi mangsa dirawat di hospital.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sedang mengesan individu yang terlibat dalam aktiviti itu.
"Daripada siasatan kami mendapati kesemua mangsa ini ada membeli dan menggunakan pil ekstasi dalam konsert tersebut.
"Hasil siasatan mendapati ada di antara mereka yang juga minum alkohol, jadi kita masih menunggu laporan bedah siasat dan ujian toksikologi.
"Ada di antara yang dapat dari luar (premis), ada di antara mereka yang beli dari dalam premis tersebut.
"Jadi Kita tidak menafikan ada individu yang berlegar di situ (sekitar premis konsert) dan menjual pil ekstasi dengan harga RM50 bagi satu pil.
"Kebiasaannya, mereka menjual secara pakej iaitu tiga pil RM100," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Shah Alam, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, orang ramai mula ke lokasi konsert pada jam 4.30 petang dan kes pertama dilaporkan kira-kira jam 11 malam sehingga jam 3 pagi.
Setakat Jumaat, katanya, enam percakapan saksi telah dirakam, selain beberapa pihak lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan, termasuk penganjur konsert dan rakan mangsa.
Media sebelum ini melaporkan empat individu meninggal dunia selepas menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway, di sini.
Selain empat mangsa maut, terdapat tiga lagi mangsa yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL), namun salah seorang daripadanya telah dibenarkan pulang.