SEREMBAN: Perpustakaan Awam Negeri Sembilan yang berkonsepkan moden, santai dan interaktif menarik lebih ramai pengunjung sekali gus membawa manfaat serta memupuk minat membaca dalam kalangan generasi muda.

Terletak di bandar Seremban 2, pelbagai kemudahan disediakan termasuk bahan bacaan secara fizikal, pangkalan data buku dan jurnal secara digital boleh diakses secara percuma, zon kanak-kanak, bilik interaktif i-Play, laman iqra, koleksi wagih kito, surau, warung ilmu serta zon e-sport.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam negeri Jamilah@Chumila Katis berkata sejak perpustakaan negeri ini pindah ke bangunan baharu itu pada 2018, kehadiran pengunjung sangat mengalakkan dan pelbagai pengisian dapat dilakukan terutamanya ketika cuti sekolah.

"Perpustakaan juga menjadi destinasi tumpuan pengunjung, pihak kami merekodkan kehadiran pengunjung paling ramai pada musim cuti kali ini iaitu peningkatan lebih 300 peratus apabila menerima kunjungan lebih 500 pengunjung sehari berbanding 150 pada hari biasa.

"Setiap hari warga perpustakaan menyediakan pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak antaranya mewarna, lukisan kreatif, mewarna burung hantu, hiasan kreatif dan macam-macam lagi sehingga cuti sekolah tamat pada Ahad ini," katanya kepada Bernama.

Jamilah berkata perpustakaan itu direka bertetapan cita rasa masa kini, dilengkapi 'bean bag' di ruangan membaca yang luas memberi keselesaan kepada para pengunjung selain mempunyai cafe untuk pengunjung membaca buku atau membuat tugasan dalam suasana santai dan tenang.

"Anak-anak daripada pelbagai peringkat umur boleh datang ke sini tanpa halangan, kita tak nak perpustakaan ini hanya tempat membaca buku sahaja, sebaliknya sebagai ruang yang boleh dimanfaatkan bersama keluarga dan rakan-rakan," katanya.

Sementara itu, pengunjung, Mokhtar Ismail, 57, ketika ditemui berkata suasana perpustakaan yang tenang dan berkonsepkan moden menarik minat pengunjung dan kemudahan disediakan membantunya mendapatkan maklumat untuk menyiapkan tesis doktor falsafah (PhD).

Beliau berkata perpustakaan dua tingkat itu memiliki lebih 150,000 bahan bacaan secara fizikal dan digital yang terkini bersesuaian dengan setiap peringkat umur serta mudah diakses.

Bagi Siti Syamsiah Hassan ,43, pula dia mengambil peluang membawa anak-anaknya ke perpustakaan terutamanya pada musim cuti sekolah ini sebagai pendedahan awal minat membaca dan cintakan buku daripada membiarkan mereka leka dengan 'gajet'.

"Kalau di rumah mereka leka tengok televisyen, main permainan video, apabila saya bawa mereka ke perpustakaan, semua seronok, mereka berinteraksi dan setiap minggu saya bawa anak-anak ke sini," kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

Pelajar, Nur Sarah Izzah Hishamudin,17, dalam persiapan menghadapi peperiksaan tahun ini, dia dan rakan-rakannya sering mengunjungi perpustakaan itu bagi mengulang kaji dan tidak pernah berasa bosan malah suasananya menambah semangat untuk belajar.

-- BERNAMA