Komitmen tinggi dalam memerangi rasuah di rantau Asia menjadi faktor utama pemilihan negara sebagai tuan rumah Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 pada 2 sehingga 4 September ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mustafar Ali berkata, pertemuan pencegahan rasuah terbesar itu bakal menyaksikan pakar-pakar terkemuka pelbagai jurusan dari seluruh dunia untuk berkongsi maklumat terkini mengenai kemajuan dan cabaran dalam isu berkenaan.

"Pemilihan Kerajaan Malaysia sebagai tuan rumah IACC kali ke-16 merupakan satu penghormatan.

"IACC kali ini dijangka menarik sehingga 1,000 peserta dari lebih 130 negara dan memupuk pertukaran pengalaman global dan kaedah berkesan melawan rasuah," katanya semasa sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.


Persidangan kali ini bertemakan 'Mengakhiri Kesan Buruk: Rakyat, Integriti, Tindakan'.

Ia dianjurkan bersama Majlis Penasihat IACC, Transparency International (TI) dan Transparency International Malaysia (TI-M).

Turut hadir Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar

Persidangan itu akan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low dan majlis penutup akan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Kata Mustafar, IACC yang berlangsung setiap dua tahun sekali itu merupakan forum utama dunia yang membawa bersama ketua-ketua negara, masyarakat serta sektor swasta untuk menangani cabaran yang semakin sofistikated dalam usaha menangani rasuah.

Dalam pada itu katanya, pemilihan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sebagai salah seorang pembentang membuktikan pengiktirafan kerajaan terhadap usaha negeri itu dalam usaha pencegahan dan pendidikan rasuah.

"Apabila Ketua Menteri Sarawak misalnya dengan komitmen hendak menangani industri balak misalnya, soal alam sekitar turut dibincangkan di peringkat kerajaan negeri," katanya lagi.

Selain Adenan, panel lain adalah Pengasas Bersama Global Witness, Patrick Alley, Pengerusi Majlis Bersama IACC, Akere Muna dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia, Tunku Abdul Aziz Ibrahim.