NASIONALISME merujuk kepada perasaan cintakan negara sendiri yang mendalam (Kamus Dewan Edisi keempat). Semangat nasionalisme membentuk jati diri seseorang berteraskan kebanggaan terhadap negara, bangsa serta identiti nasional. Ia merupakan perasaan yang mengutamakan kepentingan dan kedaulatan negara serta mengutamakan perpaduan rakyat.

Semangat nasionalisme sering menjadi pendorong kepada usaha untuk mencapai kemerdekaan, mempertahankan kedaulatan dan membangunkan negara dalam pelbagai aspek termasuk politik, ekonomi dan sosial serta mendorong rakyat untuk mencintai tanah air dan mengutamakan kepentingan negara berbanding kepentingan peribadi.

Fakta sejarah mengatakan bahawa bahasa Melayu yang berasal dari rumpun Polinesia telah digunakan oleh pedagang asing yang berurus niaga di rantau ini. Bahasa Melayu berkembang mengikut aturan sejagat apabila menerima pengaruh bahasa Sanskrit dan bahasa Arab akibat penyebaran agama Islam.

Pengaruh bahasa asing lain seperti bahasa Inggeris dan Portugis mula diterima apabila negara-negara Eropah menjajah alam Melayu. Penciptaan dan pembinaan diksi dan kata daripada pengaruh bahasa asing inilah lahirnya ilmu mantik.  Menurut Kamus Dewan mantik ialah ilmu bahas akal, ilmu jalan fikiran tentang sebab dan kejadian yang terbit daripadanya. Disebabkan itulah maka wujudnya ilmu mantik Arab di alam Melayu dan ilmu mantik awal Eropah (Mat Rofa Ismail, 2015).

Melalui weltanschauung bangsa Melayu maka telah terciptalah kiasan atau perbandingan yang mengikat peribahasa menjadi analogi untuk kata bicara yang lebih santun, berhemah dan mempunyai daya fikir yang tinggi. Inilah elemen penting terhadap estetika berbahasa dalam kehalusan budi orang Melayu yang bukan sahaja memperkayakan bahasa tetapi juga mencelikkan akal dan mendalami makna.

Tidak dapat dielakkan untuk kita membincangkan tentang nasionalisme dan patriotisme setiap kali menjelang bulan kemerdekaan pada setiap Ogos. Melalui penulisan ini beberapa ungkapan peribahasa akan ditekuni sebagai galakan kepada pembaca untuk memaklumi bahawa dalam peribahasa juga tersiratnya semangat nasionalisme yang mencerminkan tentang pengorbanan, keutuhan bangsa dan kecintaan terhadap negara.

  1. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing menggambarkan semangat kerjasama dan kebersamaan dalam menghadapi cabaran demi kepentingan bersama termasuk demi cinta terhadap negara.

     
  2. Bagai aur dengan tebing pula menunjukkan kebergantungan antara rakyat dan pemimpin sesebuah negara yang perlu saling menyokong untuk terus maju dan stabil tanpa perlu menghina dan mencaci.

     
  3. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Peribahasa ini menggambarkan tentang peri pentingnya manusia meninggalkan jasa atau bakti yang boleh dikenang oleh bangsa dan negara serta generasi akan datang. Selain menjadi jariah di akhirat jasa dan pengorbanan juga menjadi panduan hidup manusia lain.

     
  4. Seperti api dalam sekam pula mencerminkan ancaman tersembunyi yang perlu dikesan lebih awal untuk melindungi keamanan dan keselamatan negara. Langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk mengelakkan musuh mengancam negara.

     
  5. Seperti lilin membakar diri menggambarkan seseorang yang sanggup berkorban demi kepentingan orang lain atau negara. Dalam konteks nasionalisme ia merujuk kepada sikap rakyat yang rela mengorbankan kepentingan peribadi untuk kesejahteraan dan kemajuan negara sama seperti seorang pejuang yang berkorban demi mempertahankan kedaulatan tanah air.

     
  6. Bagai aur ditarik songsang menggambarkan usaha yang sia-sia atau bertentangan dengan kehendak semula jadi. Dalam konteks nasionalisme ia menggambarkan betapa pentingnya setiap individu berusaha ke arah memajukan negara dan tidak menentang usaha ke arah kebaikan.

     
  7. Genggam bara api biar sampai jadi arang menunjukkan semangat ketekunan dan kesabaran dalam mencapai sesuatu matlamat. Bagi seseorang yang mempunyai sifat nasionalisme dalam diri, peribahasa ini melambangkan ketabahan untuk berjuang demi negara meskipun menghadapi cabaran atau kesusahan. Mereka mempunyai hati yang waja demi memastikan kejayaan untuk tanah air.

     
  8. Seperti sirih pulang ke gagang membawa makna seseorang yang kembali ke tempat asal. Dalam konteks nasionalisme ia boleh merujuk kepada sikap anak watan yang tidak melupakan asal-usul dan akan kembali ke tanah air walaupun sudah lama menetap di luar negara atau di tempat lain. Ini menggambarkan kecintaan terhadap tanah air yang tidak pernah luntur.

     
  9. Tegak rumah kerana tiang, tegak bangsa kerana budi bermaksud pentingnya nilai-nilai murni dan budi pekerti dalam mempertahankan kekuatan bangsa yang merujuk kepada kepentingan mengekalkan adab, etika dan sikap hormat-menghormati sebagai teras membina sebuah negara yang aman dan makmur.

     
  10. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri mengungkapkan tentang betapa elok pun tempat orang, elok lagi negara sendiri, iaitu tempat lahirnya leluhur asal yang tiada tolok bandingnya. Kekuatan jati diri itulah yang menjadi sandaran semangat kebangsaan dalam diri seseorang warganegara.
Peribahasa yang dicipta oleh masyarakat zaman dahulu ialah khazanah yang penuh bermakna yang mengandungi mesej tertentu untuk ditekuni lapis demi lapis. Ada yang boleh dijadikan iktibar, panduan dan kajian metafora terutamanya yang melibatkan semangat nasionalisme dalam menghayati erti kemerdekaan.

Terbukti jelas pengamatan ini menunjukkan kehebatan bahasa Melayu dalam acuan yang tersendiri yang mampu membangkitkan kepentingan perpaduan, pengorbanan dan kebersamaan demi mengekalkan semangat nasionalisme dalam masyarakat.

Unsur nasionalisme dalam peribahasa mengandungi nilai yang mendorong rakyat untuk mengutamakan negara dan bangsa, berkorban demi kedaulatan dan menjaga perpaduan. Melalui peribahasa juga semangat kebangsaan dipupuk dengan cara yang halus namun mendalam sehingga menjadikan peribahasa sebagai alat pendidikan sosial yang penting dalam membentuk jati diri dan semangat cintakan tanah air.



* Azura Halid merupakan pejuang Bahasa Melayu yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.