Dewan Rakyat akhirnya dibubarkan.
Bagaimanapun, status Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan sebahagian besar negeri masih belum jelas, terutama yang ditadbir oleh Pas dan Pakatan Harapan (PH).
Pas telah mengumumkan mereka tidak akan membubarkan DUN di negeri yang diperintah parti itu. Begitu juga PH.
Untuk rekod Pas merupakan sebahagian komponen gabungan yang mentadbir kerajaan persekutuan pimpinan Ismail Sabri dan sebelum ini di bawah Muhyiddin.
Tiga hari selepas Belanjawan 2023, yang terbesar dari segi peruntukan, yang dibentangkan oleh menteri kewangan, ketika ramai beranggapan ia tidak perlu dilakukan dengan tergopoh-gopoh.
Lebih awal berbanding situasi ketika tahun 1999 yang membolehkan PRU diadakan pada November 1999.
Ketika itu Parlimen dibubarkan sembilan hari selepas Belanjawan 2000 dibentangkan. Belanjawan 2000 dibentangkan semula pada bulan Februari 2000.
Semalam, pengumuman pembubaran Parlimen dibuat pada cuti umum ganti di kebanyakan negeri ekoran sambutan Maulidur Rasul yang jatuh pada hari Ahad.
Mandat semasa kerajaan Pusat, yang telah silih berganti sebanyak tiga kali, tinggal sembilan bulan untuk berakhir.
Mandat kerajaan Pusat akan berakhir Julai depan. Ismail Sabri, yang sendiri menekankan perubahan tiga kerajaan dan pelantikan tiga Perdana Menteri dalam perutusan khasnya semalam, menegaskan, beliau telah mengambil jalan untuk kembali kepada rakyat bagi mengakhiri cakap-cakap banyak pihak mengenai keabsahan kerajaan sedia ada, yang beliau merupakan sebahagian daripada anggota kerajaan yang dibentuk susulan Langkah Sheraton pada penghujung Februari 2020.
Lebih 21 juta rakyat - juga paling ramai dalam sejarah negara, terutama susulan pelaksanaan dasar Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik, yang diluluskan oleh kerajaan PH pada Julai 2019, layak untuk mengundi pada kali ini.
Peningkatan sekitar 40 peratus berbanding jumlah pengundi semasa PRU14 empat tahun lalu.
Sesungguhnya, ini juga kali pertama tempoh mandat semasa, mengambil kira sejak berakhirnya PRU14 pada 9 Mei 2018, landskap politik dan pilihan raya disajikan dengan begitu banyak perkembangan yang tidak diduga sama sekali.
Pertamanya, kejatuhan kerajaan PH pada awal tahun 2020 susulan Langkah Sheraton yang menyaksikan sejumlah wakil rakyat termasuk anggota Kabinet meninggalkan kerajaan yang dibentuk susulan tsunami rakyat 52 bulan yang lalu pada Mei 2018.
Keadaan itu turut membawa kepada perubahan kerajaan di beberapa negeri terutama di Kedah, Johor, Perak dan seterusnya di Melaka.
Keduanya, tempoh semasa juga menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) tergempar di Sabah (September 2020), Melaka (November 2021) dan Johor (Mac 2022).
Tidak dapat dinafikan negara pernah menyaksikan pilihan raya tergempar sebelum ini, tetapi ini kali pertama dalam jumlah yang banyak.
Kemungkinan besar ketiga-tiga negeri tersebut tidak akan mengadakan pilihan raya yang baharu. Malah perkara ini juga telah ditekankan oleh Ismail Sabri dalam perutusan beliau.
Pun begitu, kerajaan negeri terbabit boleh mengadakan semula PRN bersama PRU peringkat Parlimen jika mahu.
Bagaimanapun, mereka tidak akan berbuat demikian, dan tidak akan mengambil risiko dengan mengambil kira ketidaktentuan politik semasa.
Ketiganya, ketika Ismail Sabri disebut-sebut akan mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan pembubaran sebanyak enam negeri dilaporkan tidak akan mengikut langkah kerajaan Persekutuan dalam menetapkan pembubaran DUN.
Jika pendirian itu menjadi benar bermakna ini kali pertama dalam sejarah negara kebanyakan negeri akan mengadakan pilihan raya berasingan.
Lazimnya pilihan raya berasingan DUN dan Dewan Rakyat hanya berlaku di Sabah dan Sarawak.
Sabah telah mengubah dasar itu sejak PRU pada 2004. Dua tahun yang lalu Sabah telah mengadakan PRN tergempar dan kemungkinan besar tidak akan mengadakan PRN semula bersama Parlimen kali ini.
Keempatnya, beberapa undang-undang berkaitan dengan pilihan raya dan wakil rakyat turut telah dipinda dan digubal bagi memperkasakan sistem pilihan raya.
Ini termasuklah dasar Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik serta undang-undang melarang lompat parti.
Kelimanya, kelulusan undang-undang antilompat parti pada Julai lalu dengan sokongan majoriti dua pertiga, juga telah merekodkan sejarah dan mengakhiri harapan lebih tiga dekad.
Hari ini kita diteruskan dengan teka-teki baharu – bilakah hari pengundian bakal ditetapkan.
Sudah tentu juga tentang tarikh penamaan calon dan jumlah tempoh untuk para calon berkempen.
Pengalaman lalu menunjukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku badan pengurusan pilihan raya akan memerlukan antara lima hingga enam minggu bagi memastikan pengurusan pilihan raya dijalankan dengan lancar.
Mengambil kira mesej kenyataan media Istana Negara semalam agar pilihan raya diadakan sebelum musim tengkujuh dan juga pengumuman SPR mengenai permohonan bagi kemudahan undi pos, yang dikeluarkan semalam iaitu pada hari pembubaran Parlimen dibuat, kita boleh menjangkakan pilihan raya akan diadakan dalam tempoh sebulan, meskipun tempoh mandatori 60 hari diberikan kepada SPR di bawah undang-undang pilihan raya.
Berbanding pengalaman tahun 2018, yang menyaksikan hari pengundian ditetapkan pada hari kerja iaitu Rabu, dan sekiranya SPR memutuskan untuk mengadakannya pada hari Sabtu, kemungkinan besar pengundian akan berlangsung pada 5 atau 12 November iaitu sebelum pertengahan November, yang diramalkan sebagai tempoh musim banjir bermula.
Undang-undang semasa membolehkan SPR menyediakan 11 hari, tempoh minimum, untuk berkempen.
Undang-undang semasa tidak menyediakan tempoh bertenang sebelum hari mengundi. Persoalan seterusnya ialah adakah SPR hanya akan memperuntukkan 11 hari sebagai tempoh berkempen atau 12 hingga 14 hari.
Mengambil kira pelbagai kekangan dan cabaran berada di hadapan kita sebagai pemegang taruh penting pilihan raya, maka SPR akan mengambil kira pelbagai faktor dalam menentukan tarikh pilihan raya.
Kita juga sedang menunggu keputusan dan pendirian terkini enam buah negeri - Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan mengenai status DUN masing-masing.
Pendirian negeri-negeri terbabit juga boleh menjadi penentu penetapan tarikh pilihan raya PRU bagi kedua-dua peringkat Parlimen dan DUN.
Walau apa pun situasi, kita bakal menyaksikan pilihan raya ekspres bagi mengelakkan impak musim tengkujuh dan banjir dalam SPR memenuhi tanggungjawab mandatori sebagai badan pengurusan pilihan raya?
Persoalan penting yang tidak dapat diketepikan begitu: Apakah hari mengundi kemungkinan akan dan boleh ditangguhkan jika musibah banjir tidak dapat dielakkan sama sekali?
Kita pernah melalui situasi beberapa pilihan raya kecil ditangguhkan kerana COVID-19, krisis kesihatan paling buruk. Situasi hampir sama perlu dilalui ketika PRU ketiga pada tahun 1969.
Teka-teki berterusan!
KRONOLOGI MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM KE-15
2018:
* 9 Mei: Pilihan Raya Umum ke-14; Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pusat.
* 16 Julai: Parlimen Penggal ke-14 mula bersidang.
2019
* 16 Julai: Dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun dan sistem pendaftaran pemilih secara automatik.
* 22 Julai: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ditubuh selepas empat parti keluar daripada BN, dilancarkan.
2020
* 25 Feb: Kerajaan PH tumbang; Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri sementara.
* 27 Ogos: Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) serah laporan 49 syor kepada kerajaan.
* 5 Dis: Kerajaan negeri Perak terbubar berikutan pengumuman Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletakkan jawatan beliau sebagai Menteri Besar; diganti oleh Datuk Seri Saarani Mohamad dari UMNO-BN.
2021
* 11 Januari: Pengisytiharan darurat berkuat kuasa, dan Parlimen dan DUN digantung.
* 16 Ogos: Tan Sri Muhyiddin Yasin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan; digantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
* 13 Sep: Ismail Sabari dan PH menandatangani memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik, antara lain dikatakan PRU15 tidak akan diadakan sebelum akhir Julai 2022.
* 20 Nov: PRN ke-15 mengejut Melaka ekoran pergolakan politik dalam negeri.
* 11 Dis: Di tengah-tengah desakan membubarkan Parlimen, Ismail Sabri minta semua pihak bersabar dan terus menyokongnya sebagai Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu ekonomi dan kesihatan.
* 18 Dis: PRN ke-12 Sarawak diadakan, lewat enam bulan susulan penggantungan DUN ekoran pengisytiharan darurat
2022
* 12 Mac: Johor mengadakan PRN ke-15, peratusan keluar mengundi sekitar 55%.
* 14 April: UMNO mengumumkan Ismail Sabri sebagai 'poster boy' BN untuk menghadapi PRU15.
* 15 Mei: Perhimpunan Agung UMNO luluskan pindaan perlembagaan bagi menangguhkan pemilihan parti; di tengah-tengah desakan meminta Perdana Menteri mengadakan PRU15.
* 11 Julai: PN mengumumkan akan memperkenalkan logo baharu ketika PRU15.
* 28 Julai: Sidang Parlimen Julai-Ogos meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti.
* 17 Sept: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu PRU15 diadakan pada tahun ini kerana perlu jika dilambatkan akan berlaku defisit sokongan kepada parti itu.
* 6 Okt: Ismail Sabri mengadap Yang di-Pertuan Agong, tetapi pembubaran Parlimen tidak disentuh.
7 Okt: Belanjawan 2023 dengan peruntukan terbesar dalam sejarah dibentangkan.
* 10 Okt: Ismail Sabri umum pembubaran Parlimen susulan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong pada 9 Okt, dan mahu negeri-negeri yang tidak mahu membubarkan DUN, mengambil langkah yang sama.
* 10 Okt: SPR mengumumkan permohonan untuk undi pos dibuka dan mengadakan mesyuarat khas dalam waktu terdekat.
* 11 Okt: Sidang Parlimen digantung ekoran keputusan pembubaran.
* Dr G Manimaran ialah penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.
* Artikel ini merupakan pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.