Perdana Menteri tempoh hari menyatakan bahawa pelaksanaan rangkaian 5G kedua di Malaysia akan membolehkan penyertaan yang lebih bermakna oleh Huawei, China dengan penyediaan teknologi "Barat dan Timur".
Ada pelbagai punca kebingungan peribadi saya, termasuk:
PERTAMA, sekiranya terdapat sebarang keperluan pun untuk rangkaian 5G yang kedua, menurut visi MADANI dan prinsip-prinsip keterbukaan dan ketelusan yang digembar-gemburkan oleh Perdana Menteri sendiri, pemberian kontrak ini sepatutnya dilakukan melalui tender terbuka dan bukan secara rundingan terus dengan mana-mana entiti tunggal, termasuk Huawei.
Setelah mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada November 2022, antara perkara pertama yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah mengarahkan siasatan penuh mengenai tatakelola kontrak rangkaian 5G sedia ada yang diberikan kepada Ericsson melalui Digital Nasional Bhd (DNB).
Penyiasatan lanjut mendapati bahawa kontrak tersebut memang diberikan secara telus melalui proses pembidaan yang kompetitif.
Ia akan mencalarkan reputasi Kerajaan MADANI sekiranya tiada sebarang tender atau proses perolehan yang terus dibuat bagi melaksanakan rangkaian 5G dwitunggal.
KEDUA, keperluan untuk rangkaian 5G kedua belum lagi dapat dibuktikan dengan kukuh, terutamanya kerana DNB dilihat telah melakukan usaha yang baik dalam melaksanakan rangkaian 5G - malah Malaysia turut diperakui oleh Opensignal sebagai salah satu negara dengan kelajuan 5G yang paling laju di dunia.
Lebih penting lagi, penarafan yang sama juga menunjukkan bahawa "Malaysia mendahului jadual peningkatan kelajuan muat turun purata pengguna menggunakan 5G berbanding 4G, dengan peningkatan sebanyak 25.7 kali ganda".
Meskipun ini turut didorong oleh bilangan pengguna 5G yang masih rendah, tidak dapat dinafikan bahawa model rangkaian borong tunggal yang diguna pakai oleh DNB bukan sahaja berkesan dalam meluaskan liputan 5G dengan cepat, tetapi kelajuan yang dicapainya jauh lebih baik daripada 4G, terutamanya apabila dilihat dari perspektif global.
Jika kelajuan dan liputan rangkaian 5G sedia ada sudah mencukupi, masih perlukah kita berbelanja untuk rangkaian kedua?
KETIGA, perjanjian mengenai struktur pemilikan DNB oleh pengendali rangkaian mudah alih (MNO) sehingga ke hari ini masih belum berjaya dimuktamadkan. Perjanjian pemilikan ini penting untuk memastikan komitmen MNO, terutamanya Maxis dan Digi/Celcom terhadap DNB.
Beberapa penganalisis industri mengesyaki bahawa dua "abang besar telko" ini mempunyai niat untuk "membunuh" DNB, supaya asetnya boleh dilelong dengan murah dan mereka tidak lagi perlu membayar yuran akses yang sama kepada DNB.
Sekiranya ini terjadi, Kementerian Kewangan yang akan terpaksa menanggung hutang DNB, bukannya pengendali utama telco. Ini akan mengakibatkan ‘kerugian sosial’ malah 'penswastaan keuntungan'.
Dan situasi ini sebenarnya banyak kali telah kita lihat serta alami di dalam pentadbiran lampau, yang saya yakin Datuk Seri Anwar akan cuba elakkan, memandangkan pada akhirnya Kementerian Kewangannya yang terpaksa membayar hutang yang lapuk.
Selaku rakyat Malaysia, kita sepatutnya peka terhadap agenda geopolitik yang menyelubungi isu 5G ini, namun kita juga seharusnya membuat keputusan yang terbaik berdasarkan kepentingan negara dan rakyat Malaysia sendiri.
* Prof Dr Ong Kian Ming merupakan mantan Ahli Parlimen Bangi dan pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Kini beliau aktif dalam memastikan pelaksanaan IR 4.0 yang lebih cekap dan telus di negara ini.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.