PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal berlaku dalam sedikit waktu lagi tidak akan sama dengan PRU14.

Pada PRU14 dan sebelumnya, ternyata getaran gelombang dapat dirasai keseluruhan rakyat tetapi tidak pada PRU15 kali ini.

Walaupun tidak dinafikan wujud gelombang di peringkat parti namun ia tidak sama di peringkat akar umbi dan pengundi.

Rakyat dilihat lebih berwaspada dalam aspek pemulihan pandemik dan pastinya kesediaan untuk berdebat atau berbicara hal politik di dalam perbualan harian termasuk di kedai kopi tidak begitu terserlah. Momentumnya tidak lagi seperti PRU14.

PRU15 juga bakal menampilkan pengundi baharu berumur 18 tahun ke atas yang akan diberi 'kuasa' untuk memilih calon mereka di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Di negeri seperti Johor sebagai contoh, mereka sudah berpeluang mengundi di peringkat pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.

Pengundi baharu ini tentunya satu kelompok yang signifikan dan belum dapat dibaca pertimbangan mereka dalam membuat pilihan.

Pasca PRU14 juga menyaksikan beberapa perubahan dalam gabungan di kalangan parti-parti politik kerana ada Ahli Parlimen yang memilih untuk melompat parti.

Akibatnya, tempoh itu menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dan parti yang pada asalnya menang pada PRU14 menjadi parti kalah, manakala parti yang tewas pula dapat menerajui pemerintahan negara.

Kekalutan politik ini mengakibatkan Akta Antilompat parti diperkenalkan dan menjadi ukuran pada dan selepas PRU15 kali ini.

Pilihan pengundi

Secara tradisinya, pilihan pengundi adalah pada calon atau parti yang menjadi tonggak pengukur kemenangan pilihan raya selama ini.

Namun, dengan kehadiran pengundi baharu yang mungkin belum mendapat pendedahan dalam suasana kepartian, ukuran dan penilaian kepada calon pasti menjadi asas kukuh yang menjadi tarikan mereka untuk memberi sokongan.

Pada awal Oktober, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan jelas dan lantang menggariskan siapa yang akan bertanding mewakili parti itu dan tentunya juga Barisan Nasional (BN)
perlu memenuhi kriteria WALI - 'winnability' (boleh menang), 'acceptibility' (kebolehterimaan) dan 'likeability' (disenangi)

Ahmad Zahid menegaskan, WALI menjadi pengukur dalam penetapan calon dan tidak lagi ditentukan posisi individu berkenaan dalam hierarki parti.

BACA: PRU15: Calon UMNO mesti penuhi ciri "WALI"

BACA: PRU15: Semua jentera parti komponen PN bergerak atas nama gabungan - Muhyiddin


Ada dua cara yang dapat dikesan dalam mengukur seseorang calon WALI iaitu penyandang dan penyelaras.

Pada ketika ini, prestasi Ahli Parlimen sedia ada akan dinilai oleh parti sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Sebagai contoh, Datuk Seri Jalaluddin Alias adalah penyandang bagi Parlimen Jelebu (P126) yang akan dinilai oleh parti dari maklum balas daripada rakyat di Parlimennya.

Sementara, satu lagi pengukur adalah dengan meletakkan penyelaras di Parlimen tertentu misalannya di Parlimen Raub yang 'dijaga' oleh parti MCA melalui Datuk Chong Sin Woon dan penyelaras dari MIC, Datuk Sivarraajh Chandran di Padang Serai.

Penyelaras ini akan memberi perkhidmatan mereka di kawasan Parlimen yang ditetapkan dan prestasi mereka juga akan dinilai oleh parti sama ada mereka layak menjadi calon bagi Parlimen di lokasi berkenaan atau sebaliknya.

Jelas sekali faktor 'acceptibility' dan 'likeability'  boleh diukur rakyat selama mana mereka menjadi penyandang atau penyelaras di kawasan masing-masing.

Persoalannya sekarang pasti terarah kepada faktor 'winnability', ia merupakan pengukur terakhir sebelum parti membuat keputusan untuk seseorang penyandang atau penyelaras boleh diketengahkan sebagai calon.




Jika wujud sengketa atau kesulitan, maka di situlah akan berlaku perubahan di mana satu muka baharu pasti diketengahkan.

Umumnya, bukan mudah untuk membuat pemilihan calon yang mempunyai ciri-ciri WALI. Proses dan pemilihannya perlu dibuat dengan benar-benar rapi kerana faktor 'winnability' wajib menjadi pegangan kuat demi kemenangan parti.

Justeru, jika PRU15 akan diadakan dalam waktu terdekat, maka pastinya pengundi boleh membuat pertimbangan bijak sama ada mahu memilih calon atau parti.

Sudah pasti, parti yang bertanding akan memperkenalkan calon-calon WALI mereka tapi harus diingat, pengukur terakhir tetap berada di tangan pengundi untuk memuktamadkan pilihan mereka di atas kertas undi.


* Wan Syamsul Amly merupakan wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.